GAMBAR menunjukkan perbezaan cuaca sebelum dan ketika Beijing dilanda ribut pasir, semalam.
BEIJING 22 Mac - Ribut pasir melanda sebahagian besar China hari ini, memaksa penduduk memakai penutup muka dan kain bagi melindungi diri daripada batu halus yang berbahaya.
Ini adalah isyarat awal kesan daripada pembentukan gurun - akibat kemusnahan rumput, pemusnahan hutan, kepesatan perbandaran dan kemarau menyebabkan kawasan di utara dan barat negara ini menjadi seumpama gurun yang luas.
Peralihan pasir beransur-ansur menuju ke kawasan kediaman penduduk dan menjadi lebih buruk apabila ribut pasir 'menyerang' bandar-bandar terutama ketika musim bunga.
Angin yang bertiup dari bahagian barat laut membawa pasir dari wilayah Xinjiang dan Ningxia serta wilayah Gansu dan Inner Mongolia menuju ke bahagian utara China.
Pasir dan debu itu juga dibawa sehingga ke bahagian selatan China.
Siaran berita tengah hari melalui televisyen tempatan merakamkan bandar pelancongan Hangzhou di pinggir pantai bahagian timur yang memiliki jambatan indah dan pagoda di pinggir air dilitupi debu pasir dan pencemaran lain.
Di Taiwan, yang terletak 160 kilometer dari tanah besar China, pemandu-pemandu mengadu kenderaan mereka dilitupi debu hitam dalam tempoh yang singkat tidak sampai 10 minit.
Stesen Meteorologi Pusat menasihati penduduk supaya menutup pintu dan tingkap serta melindungi muka mereka dengan penutup muka atau kain apabila keluar rumah.
Peralatan mesin dan elektronik sensitif pula perlu ditutup, kata stesen itu dalam amarannya yang disiarkan melalui laman Webnya hari ini.
Televisyen Pusat China memberitahu penonton supaya mencuci hidung mereka dengan air bercampur garam dan membersihkan telinga mereka daripada debu menggunakan kain kapas yang dicelup ke dalam alkohol.
Kejadian ribut pasir itu merupakan yang kedua melanda Beijing dalam tempoh tiga hari.
Beijing pernah dilanda ribut pasir terburuk pada 2006, apabila kira-kira 300,000 tan pasir terdampar di ibu negara China ini. - AP
+++
Ribut pasir menuju Korea
Kerikil selimuti kota besar China, Hong Kong, Taiwan
SEOUL: Ribut pasir yang melanda China, Hong Kong dan Taiwan, menyebabkan pencemaran dan mengehadkan jarak penglihatan akan tiba di Korea Selatan hari ini.
Jangkaan itu dimaklumkan oleh pegawai Pentadbiran Kaji Cuaca Korea, Kim Seung-bum, semalam, selain meramalkan Korea Selatan akan dilanda jerebu ‘habuk kuning’ terburuk sejak 2005.
Ramalan itu juga menyebabkan pihak berkuasa Korea Selatan mengeluarkan amaran kepada penduduk di seluruh negara selepas ia melanda China, Hong Kong dan Taiwan. Malah, kerikil berpunca daripada ribut pasir China didapati mampu sampai sehingga ke sebelah barat Amerika Syarikat.
Di Beijing, laporan menyatakan, ribut pasir yang melanda kota utama China menyebabkan kawasan diselimuti pasir dan kerikil hinggalah ke Hong Kong dan Taiwan.
Keadaan itu dianggap isyarat terbaru menunjukkan kesan kawasan bandar yang semakin meluas, saiz hutan yang mengecil, kegiatan pertanian terlalu giat dan kemarau di sebelah utara dan barat China.
Kedudukan tanah yang berubah hingga meliputi kawasan penduduk memburukkan kesan ‘serangan’ ribut pasir itu.
Angin yang bergerak dari barat laut turut membawa pasir ke kawasan seluruh China sejak Sabtu lalu dan menjejaskan Xinjiang ke baratnya dan Beijing di sebelah timur hingga ke Taiwan, 2,600 kilometer dari Inner Mongolia.
Ribut pasir di Taiwan, 160 kilometer dari tanah besar, memaksa penduduk menutup muka dan mengelak daripada bernafas supaya tidak tersedut kerikil yang boleh menyebabkan rasa tidak selesa dan masalah pernafasan.
Di Hong Kong, pegawai perlindungan alam sekitar pula berkata, tahap pencemaran meningkat ketika ribut pasir itu menuju tempat lain.
Seramai 20 orang tua mendapatkan bantuan kerana sesak nafas menyebabkan kerajaan menggesa penduduk tidak keluar rumah. – AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan