Selasa, 23 Mac 2010

Cincin, rantai RM4.08 juta dicuri

THE HAGUE 22 Mac - Sebentuk cincin dan seutas rantai leher berlian bernilai 860,000 euro (RM4.08 juta) dicuri pada pameran antik paling terkemuka di dunia di Belanda, semalam.

Pameran antik Tefaf di bandar raya Maastricht itu dibuka pada 12 Mac lalu dan ditutup semalam.

"Sebentuk cincin bertatah batu nilam besar dan seutas rantai berlian milik syarikat barang kemas Hancock dari London dicuri pada hari terakhir pameran," kata jurucakap penganjur pameran, Titia Vellenga.

Polis sedang menyiasat kejadian tersebut yang berlaku antara pukul 5 petang hingga 6 petang semalam (12 tengah malam tadi hingga 1 pagi ini waktu Malaysia), ujar beliau.

Pameran Tetaf edisi ke-23 itu menarik lebih 73,000 pengunjung tahun ini.

Lebih 260 peniaga antik dan karya seni mempamerkan 30,000 buah lukisan, arca, perabot, barang kemas, tembikar, pakaian dan manuskrip.

Jualan terbesar pada pameran itu ialah sebuah lukisan tahun 1534 oleh pelukis Jerman, Lukas Cranach, David and Bathsheba, yang dijual pada harga 5.3 juta euro (RM25 juta). - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan