SYDNEY 29 Jan. - Gelombang haba yang melanda selatan Australia yang telah mencetuskan masalah pengangkutan apabila landasan kereta api menjadi bengkok dan lebih 10,000 buah rumah putus bekalan elektrik apabila grid elektrik terputus, memberi petanda perubahan iklim dunia.Biro Meteorologi meramalkan suhu setinggi 40 darjah Celsius itu akan berterusan selama enam hari dan merupakan gelombang haba paling panas di kawasan ini sejak 100 tahun lalu.
Menteri Perubahan Iklim, Penny Wong berkata, gelombang haba yang bermula semalam itu adalah antara tanda-tanda amaran yang disuarakan oleh saintis cuaca sebelum ini.
"Sebanyak 11 daripada tahun paling panas dalam sejarah direkodkan sejak 12 tahun lalu dan kami mendapati kawasan selatan Australia semakin kurang mengalami hujan.
"Kesemua yang berlaku adalah konsisten dengan perubahan iklim dan juga konsisten dengan amaran yang dikeluarkan oleh saintis," kata Wong kepada pemberita.
Pegawai kesihatan di Australia Selatan dan Victoria menasihatkan penduduk agar tidak keluar rumah, menggunakan pendingin hawa dan banyak minum air.
Landasan kereta api di Melbourne juga bengkok memaksa perkhidmatan kereta api dibatalkan dan menyebabkan ribuan penumpang yang kepanasan naik marah.
Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne juga terpaksa menangguhkan perlawanan luar dan menutup bumbung stadium utama sejak dua hari lalu. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan