Ahad, 1 Februari 2009

Indonesia haram umat Islam amal yoga

JAKARTA: Badan Islam tertinggi di Indonesia mengharamkan amalan yoga di kalangan umat Islam, yang disifatkan mempunyai unsur amalan Hindu, berikutan kebimbangan kumpulan agama mengenai kesan akidah ummah.

Keputusan di Indonesia itu menyamai keputusan yang dilakukan di Malaysia dan Mesir mengenai amalan senaman kuno India yang semakin popular di seluruh dunia itu.

Ulama, Ma'ruf Amin, berkata Majlis Ulama mengeluarkan keputusannya itu akhir minggu lalu selepas melawat gimnasium dan kelas yoga persendirian di seluruh republik berkenaan.

Ma'ruf berkata, keputusan itu tidak menjejaskan mereka yang terbabit dengan amalan yoga bagi tujuan kesihatan atau sukan. Bagaimanapun keputusan itu mendapat kritikan pengamal yoga.

"Tidak perlu dibimbangkan mengenai perkara ini," kata Jamilah Konny Fransiska, seorang guru yoga di Batam, sambil menambah kebanyakan pelajarnya mengamalkan yoga untuk menguatkan tubuh dan minda.

"Tiada langsung atau mungkin hanya sedikit elemen kerohanian. Ulama perlu memfokuskan kepada hal agama saja bukan mengenai perkara ini," katanya.

Yoga, amalan senaman mental dan fizikal menjadi popular di Amerika Syarikat dan kebanyakan sekolah awam mula menawarkannya sebagai program pendidikan fizikal. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan