Rabu, 12 November 2008

Piramid baru ditemui di Mesir

AHLI-AHLI arkeologi bekerja di kawasan pemakaman sebuah kawasan piramid terbaru di Saqqara, Mesir semalam.

SAQQARA, Mesir 11 Nov. - Sekumpulan ahli arkeologi Mesir menemui sebuah piramid yang tertimbus di satu padang pasir di Saqqara yang dipercayai milik ibu kepada seorang Firaun memerintah lebih 4,000 tahun lalu, kata Ketua Antikuiti Mesir, Zahi Hawass semalam.

Piramid itu ditemui dua bulan lalu dalam pasir selatan Kaherah berkemungkinan menempatkan mayat Ratu Sesheshet iaitu ibu kepada Raja Teti yang memerintah dari 2323 hingga 2291 sebelum Tahun Masihi.

"Hanya piramid milik Ratu Shesheshet yang hilang, itulah punca kenapa saya pasti ia adalah miliknya (Ratu Shesheshet).

"Penemuan ini akan memperkayakan lagi pengetahuan kita mengenai negara beraja lama," katanya.

Kumpulan tersebut sebelum ini menemui beberapa piramid milik dua lagi isteri Raja Teti tetapi tidak pernah menemui makam kepunyaan Ratu Sesheshet.
Anggota-anggota penggalian sudah menggali di lokasi itu selama dua tahun tetapi Zahi memberitahu bahawa penemuan tersebut berjaya dilakukan dua bulan lalu apabila makam setinggi lima meter itu yang tertimbus di bawah pasir didapati sebuah piramid.

Ia merupakan piramid yang ke-118 ditemui di Mesir dan piramid yang mempunyai struktur paling lengkap berjaya ditemui, kata Zahi.

Ahli-ahli arkeologi merancang untuk memasuki ruang pemakaman piramid itu dalam tempoh dua minggu lalu dan antara barangan awal ditemui adalah patung kayu Tuhan Anubis. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan