TOKYO: Sekumpulan Saintis Jepun mendakwa mereka berjaya menghasilkan sel tunjang yang diperoleh daripada gigi geraham bongsu.
Penemuan itu amat dialu-alukan kerana membuka jalan bagi mewujudkan kaedah berkesan melawan penyakit tanpa menggunakan janin atau embrio yang amat kontroversi kerana bercanggah dengan etika.
Penyelidik di Institut Kajian Lanjut Saintis Industri Kebangsaan mendakwa mereka dapat menghasilkan sel tunjang yang sama ditemui dalam janin manusia menggunakan gigi geraham bongsu yang diambil daripada seorang budak perempuan berusia 10 tahun.
"Hasil kajian ini amat bermakna kerana ia menghasilkan dua perkara. Satu, kita boleh mengelak isu etika membabitkan sel saraf tunjang kerana gigi geraham bongsu sememangnya sesuatu yang lazimnya dicabut.
"Manfaat kedua adalah geraham bongsu itu boleh digunakan pada bila-bila masa kerana ia disimpan dalam peti sejuk beku dan menjadi antara cara terbaik menyimpan sumber baru sel saraf tunjang berkenaan," kata ketua penyelidik, Hajime Ogushi.
Dalam kajian itu, sel berkenaan diambil daripada gigi geraham bongsu yang dibangunkan selama 35 hari. Penyelidik kemudian menguji bahan berkenaan bagi melihat sama ada ia boleh dibangunkan kepada beberapa jenis sel lain.
Penemuan mereka itu menyusuli hasil kajian bersejarah saintis Amerika Syarikat dan Jepun tahun lalu yang mereka boleh menghasilkan sel tunjang daripada kulit.
Bagaimanapun, penyelidik Jepun itu mengakui yang ia memerlukan masa lama sebelum penggunaan gigi geraham bongsu berkenaan dapat dipraktikkan secara meluas. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan