Khamis, 28 Ogos 2008

Mumia 1,300 tahun ditemui di Peru

LIMA 27 Ogos - Ahli arkeologi menemui satu mumia yang masih dalam keadaan elok yang dikenali sebagai "Wanita Bertopeng", dipercayai berusia 1,300 tahun di sebuah kawasan perumahan di bandar raya ini.

Mumia wanita itu dipercayai daripada kebudayaan Wari, kata ahli arkeologi, Isabel Flores yang mengetuai ekspedisi penggalian di Huaca Pucllana iaitu beberapa kompleks batu bata lumpur berdekatan daerah Miraflores di Lima.

"Ini merupakan satu penemuan penting kerana kita telah menemui beberapa buah makam sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak satupun daripadanya telah disentuh," katanya.

Menurut Flores, mereka menemui tiga makam yang mengandungi tiga bekas bungkusan mayat dengan salah satu berisi mumia bertopeng yang dipercayai milik seorang wanita.

Mayat yang diawet dan dibungkus dengan lapisan fabrik itu ditemui dalam kedudukan membongkok dengan lututnya bertemu dagu.

"Topeng yang menutupi mayat itu begitu menarik kerana ia mempunyai hidung yang bengkok, bibir yang nipis dan sepasang mata yang bundar menampakkan anak mata yang besar berwarna putih mengelilingi warna hitam.

"Dua mumia lagi dipercayai milik mayat seorang kanak-kanak dan seorang dewasa," kata Flores.

Jelas Flores, masyarakat Wari merupakan kumpulan masyarakat yang berpengaruh di Pergunungan Andes yang hidup antara 700 hingga 1000 tahun lalu.

Ketika di zaman kemuncaknya kerajaan Wari menguasai Pergunungan Andes Peru termasuk wilayah perairannya.


"Lazimnya topeng dipakaikan kepada mayat wanita daripada keturunan atasan dalam masyarakat itu.

"Mayat itu dipercayai wanita berikutan penemuan bahan tenunan tekstil yang lazimnya dipakai oleh golongan wanita," katanya.

Mereka juga menemui seramik dan mayat kanak-kanak yang dipercayai dijadikan korban bagi menemani si mati bagi alam kehidupan selepas mati.

Mumia "Wanita Bertopeng" ini dikatakan ditemui pada awal bulan ini dan mereka percaya Huaca Pucllana merupakan kompleks perkuburan yang utama di zaman Pra Columbia dan menjadi pusat pentadbiran penting di Lima pada zaman itu. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan