GUA MUSANG 6 Jun – Ekspedisi Saintifik Institusi Pengajian Tinggi Awam menemui spesies bunga pakma atau nama saintifiknya Rafflesia (gambar) yang tercantik dan kedua terbesar dunia di kawasan Tanah Tinggi Lojing dekat sini.Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datin Maryati Mohamed berkata, bunga pakma itu ditemui di kawasan lereng cerun pada ketinggian 1,300 meter dari paras laut.
Maryati berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai susulan Ekpedisi Saintifik Tanah Tinggi Lojing yang masuk hari ke-12 semalam sebelum berakhir 14 Jun ini untuk mengkaji potensi pelancongan di kawasan berkenaan.
Ekspedisi itu disertai 103 orang membabitkan penyarah dan pelajar dari enam institusi pengajian tinggi termasuk UMS, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.
Maryati berkata, bunga pakma yang ditemui itu juga mempunyai daya penarik kerana ia berkembang dengan ukuran saiz 57 sentimeter dan boleh berkembang hingga 70 sentimeter.
Bunga pakma yang ditemui di Wilayah Sumatera, Kalimantan, Indonesia sebelum ini adalah yang terbesar di dunia kerana boleh berkembang sehingga 150 sentimeter dan ia tidak pernah ditemui di kawasan lain. – Bernama
source
Tiada ulasan:
Catat Ulasan