Isnin, 2 Jun 2008

Kajian beri amaran risiko bapa berusia

LONDON: Kanak-kanak berisiko dua kali ganda untuk mati sebelum dewasa jika mempunyai bapa berusia melebihi 45 tahun.

Satu kajian yang dijalankan mendapati bahawa kematian di kalangan kanak-kanak yang memiliki bapa berusia 45 tahun ke atas adalah dua kali ganda lebih berbanding mereka yang mempunyai bapa berusia antara 25 hingga 30 tahun.

Saintis percaya, kanak-kanak daripada bapa yang berusia menghadapi risiko mengalami kecacatan sewaktu lahir termasuk autisme, skizofrenia dan sawan.

Kajian itu adalah yang pertama di Barat dan penyelidik percaya penemuan itu berkaitan dengan kekurangan sperma berkualiti berikutan faktor usia yang lanjut.

Seramai 100,000 kanak-kanak yang dilahirkan antara 1980 dan 1996 diperiksa dengan 830 daripada mereka setakat ini meninggal dunia sebelum usia 18 tahun, majoriti daripada mereka meninggal ketika berusia kurang setahun.

Kematian ramai kanak-kanak yang memiliki bapa lebih tua berkaitan dengan kecacatan ketika lahir seperti masalah jantung dan tulang belakang yang meningkatkan risiko maut di kalangan bayi.

Bagaimanapun, kadar tinggi juga membabitkan kematian akibat kemalangan yang penyelidik percaya disebabkan mengalami masalah autisme, skizofrenia atau sawan. - Agensi & BH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan