Isnin, 21 Januari 2008

Polis Periksa Lebih 10,000 Rumah Kesan Sharlinie

PETALING JAYA, 20 Jan, - Polis telah memeriksa lebih 10,000 rumah di sekitar Petaling Jaya sejak berita kehilangan Sharlinie Mohd Nashar, 5, dilaporkan hilang pada 9 Jan lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, biarpun usaha mencari Sharlinie gagal, polis tidak berputus asa sebaliknya akan memperhebatkan lagi pemeriksaan rumah yang dicurigai berpandukan maklumat orang ramai.

Kira-kira 1,000 rumah diperiksa setiap hari dan bagaimanapun polis tidak menemui sebarang bukti menunjukkan Sharlinie pernah disembunyikan di situ, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini setiap pemilik rumah memberikan kerjasama kepada polis biarpun tindakan memeriksa dari rumah ke rumah ini dianggap agresif kerana orang ramai sedia maklum mengenai kehilangan kanak-kanak tersebut.

Walaupun Petaling Jaya mempunyai kapasiti penduduk mencecah 1.6 juta orang, namun penghuni daerah itu termasuk Rukun Tetangga (RT) memberikan kerjasama penuh dan setakat ini belum ada kes mereka menghalang rumahnya diperiksa, katanya.

Katanya polis juga menyiasat beberapa maklumat yang dihantar ke telefon bimbit bapa Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussein yang kini dalam simpanan polis.

"Perkara ini tidak menjamin ada perkembangan terbaru kes tersebut dalam tempoh sehari dua lagi seperti yang dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini," katanya.

Sharlinie atau dikenali sebagai Nini dilapor hilang kira-kira pukul 11.30 pagi ketika bermain bersama kakaknya Sharliena, 8, di taman permainan Kanak-kanak Taman Medan di sini yang jaraknya hanya 200 meter dari rumah mereka. - Bernama
.


Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan