PETALING JAYA, 20 Jan, - Mohd Nashar Mat Hussain, bapa kanak-kanak perempuan, Sharlinie, 5, yang sudah 12 hari hilang, bersedia menerima bantuan daripada pakar hipnosis.Katanya pelbagai bantuan telah diberikan dan berharap ada kaedah lain termasuk hipnosis, digunakan bagi membantu mengesan Sharlinie.
"Saya tak kisah apa sahaja bantuan untuk cari Linie. Kalau ada mana-mana pakar hipnosis yang sedia membantu, saya akan beri kerjasama... mungkin kaedah ini dapat menolong kami menemui dia (Sharlinie)," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Mohd Nashar berkata pelbagai ikhtiar telah diusahakan setakat ini namun Sharlinie masih gagal dikesan.
Sementara itu, Shamsul Ghazali Shamsudin bapa kepada Muhammad Nazrin atau Yin yang pernah dilaporkan hilang ketika mengikut ibu bapanya membeli-belah di Kompleks Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur 31 Mac tahun lepas, turut meluangkan masa melawat keluarga Sharlinie hari ini.
"Saya pernah rasa macam mana kehilangan anak, namun saya bersyukur kerana saya dapat Yin balik. Saya menyeru rakyat Malaysia supaya dapat memberi kerjasama mencari Sharlinie," katanya.
Shamsul Ghazali berkata beliau turut turun padang mengedarkan poster Sharlinie di kawasan perumahannya di Ipoh, Perak dan mengundang rakan-rakan mengadakan solat hajat memohon keselamatan Sharlinie, di rumahnya. - Bernama
.
Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan