Isnin, 21 Januari 2008

Jangan Salahkan Polis Kerana Peningkatan Kes Jenayah - Fu

KUANTAN, 20 Jan, - Polis tidak wajar dipersalahkan berikutan peningkatan pelbagai kes jenayah dan jika ia dilihat gagal menyelesaikan beberapa kes berprofil tinggi kebelakangan ini, kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow.

Ini kerana, katanya, polis sebenarnya telah berusaha bersungguh-sungguh termasuk menubuhkan pasukan khas dalam usaha menyelesaikan kes-kes tertentu.

"Buktinya, kita berjaya menyelesaikan pelbagai kes jenayah sebanyak 45 hingga 50 peratus pada tahun lepas dan berjaya melepasi tahap kadar penyelesaian kes yang ditetapkan oleh Interpol iaitu sebanyak 20 peratus.

"Ini adalah satu pencapaian yang harus dibanggakan dan saya secara peribadi percaya polis sentiasa melakukan yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan Tahun Baru Cina kepada 500 warga tua di sini hari ini.

Fu berkata polis juga tidak pernah menutup siasatan bagi kes yang berprofil tinggi.

Orang ramai harus faham bahawa dalam penyelesaian sesebuah kes, petunjuk perlu ada dan sebab itulah polis sentiasa memerlukan kerjasama orang ramai dalam menyelesaikan sesuatu kes, katanya.

"Dalam keadaan sekarang, kita jangan letakkan tugas dan usaha mencegah jenayah di bahu polis semata-mata, sebaliknya kerjasama semua pihak amat diperlukan," tegas beliau.

Diminta mengulas kes kehilangan Sharlinie Mohd Nashar, 5, Fu meminta orang ramai bersabar dan memberikan masa kepada polis menyelesaikan kes itu.

"Orang ramai selalu ingat polis lambat melakukan siasatan, tetapi mereka perlu faham polis tidak boleh menahan orang sesuka hati, sebab itu sesuatu kes itu memerlukan masa bagi diselesaikan," katanya. - Bernama
.


Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan