Isnin, 21 Januari 2008

Kajian: Generasi Akan Datang Akan Hidup Dalam Dunia Yang Merbahaya

DUBAI, 19 Jan, - Hasil kajian terbaru kaji selidik global yang dilaksanakan bagi World Economic Forum menunjukkan kekurangan keyakinan bahawa generasi akan datang akan hidup dalam dunia yang lebih selamat.

Responden kaji selidik itu telah ditanya mengenai prospek kehidupan dalam dunia yang lebih selamat dan lebih makmur dari segi ekonomi tetapi hasilnya menunjukkan kekurangan optimisme terhadap kedua-duanya, terutama sekali di Eropah Barat dan Amerika Utara, menurut pengumuman World Economic Forum.

Kajian itu yang telah dilaksanakan bagi tahun kelima berturut-turut juga mendapati para peneraju perniagaan lebih dipandang tinggi berbanding dengan rakan-rakan politik mereka.

Bagaimanapun, sebahagian besar masih mengkritik kedua-dua kumpulan itu di mana ketidakjujuran lebih dikaitkan dengan para pemimpin politik.

Gallup International, sebuah syarikat penyelidikan pasaran, yang melakukan kaji selidik itu telah menemubual 61,600 orang di 60 buah negara bagi kaji selidik "Voice of the People."

Temu bual itu dilakukan antara Oktober dan Disember 2007, yang mewakili pandangan hampir 1.5 bilion penduduk dunia.

Keputusan kaji selidik itu diumumkan sebelum mesyuarat tahunan World Economic Forum di Davos dari 23 hingga 27 Januari ini.

Pengerusi Eksekutif dan pengasas World Ekonomi Forum Klaus Schwab yang mengulas kaji selidik itu berkata "jika kita hendak mewujudkan keyakinan di masa depan, kita perlu mengambil tindakan bersama secara global." - Oleh Nor Faridah Rashid (Bernama)
.


Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan