Isnin, 21 Januari 2008

Peguam Christopher Fernando meninggal dunia

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Peguam terkenal, Christopher Fernando atau nama Islamnya, Aris Rizal Fernando Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini malam tadi kerana serangan jantung.

Beliau yang berusia 67 tahun meninggalkan seorang balu, Kamariah Kamaruddin serta dua anak perempuan, Marisa Regina dan Rina, kedua-duanya berusia 20-an.

Suasana sedih menyelubungi Tanah Perkuburan Titiwangsa ketika Allahyarham disemadikan di situ pada pukul 1.45 petang ini.

Upacara dihadiri kira-kira 250 ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan yang datang menziarahi jenazah.

Pemandu peribadi Aris Rizal, P. Balakrishnan, 58, berkata, peguam terkenal itu dihantar ke sebuah klinik berdekatan Titiwangsa kira-kira pukul 2.30 petang, 14 Januari lalu selepas mengadu tidak sihat badan pada pagi hari tersebut.

Beliau kemudian dikejarkan ke IJN kira-kira pukul 7.30 petang pada hari sama setelah disahkan mengalami serangan jantung dan menjalani pembedahan pintasan.

Beliau meninggal dunia di IJN kira-kira pukul 11.30 malam tadi dan jenazahnya dibawa pulang ke rumah keluarga isterinya di Tasik Titiwangsa hari ini untuk dimandi dan disembahyangkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Kamariah berkata, walaupun beliau amat sedih atas pemergian suaminya itu, namun beliau akan terus cekal dalam hidup dan tumpuannya kini adalah terhadap kedua-dua anak perempuannya.

Menurutnya, firma guaman milik Allahyarham, Tetuan Aris Rizal Christopher Fernando & Co. akan terus diusahakan anak sulungnya, Marisa Regina yang juga rakan firma kepada Allahyarham.

Marisa Regina telah berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan yang masih kecil.

Adik Marissa Regina, Rina enggan ditemu ramah oleh pemberita kerana masih bersedih.

.


Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan