Khamis, 31 Januari 2008

Buku Memuatkan Surat Terpilih Dr Mahathir Dilancarkan

PUTRAJAYA, 30 Jan. - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan bukunya bertajuk "Mahathir's Selected Letters to World Leaders."

Surat berkenaan yang tidak pernah disiarkan sebelum ini terdiri daripada 71 surat, antara lain oleh Dr Mahathir, Bush, Chirac, Blair, Thatcher dan Putera Charles adalah unik kerana ia mengandungi tafsiran dan hujahan masing-masing mengenai keganasan globalisasi, ekonomi dan hubungan diplomatik, dan perang dan konflik.

Surat itu telus, padu dan informatif.

Dr Mahathir menulis secara terus terang, mengikut stail dan cara beliau yang sememangnya seorang tokoh yang dikagumi.

Buku ini amat sesuai dibaca semua peringkat sama ada mereka yang meminati politik, diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Tiada daripada surat itu pernah disiarkan sebelum ini dan ciri yang paling jelas dalam tulisannya ialah stail, perkataan yang mudah digunakan untuk menjelaskan isu yang rumit, isu itu ditulis dalam bahasa Inggeris biasa.

Buku setebal 237 muka surat itu berharga RM49.90 senaskhah diterbitkan oleh Marshall Cavendish, penerbit antarabangsa buku, direktori, majalah dan pembelajaran secara online.

Ia disunting dan disusun oleh Tan Sri Abdullah Ahmad yang merupakan penulis dan intelektual lulusan MCKK-Cambridge dan Harvard dan pengerusi pengasas Institut Kajian Politik dan Ekonomi (KAPE).

Abdullah pernah menjadi duta khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu antara 1996-2000 dan ketua pengarang New Straits Times selama beberapa tahun. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan