Khamis, 31 Januari 2008

Lapor Kepada Polis Jika Jiran Pindah Rumah Secara Mengejut

PETALING JAYA, 30 Jan. - Lapor kepada polis jika jiran anda berkelakuan mencurigakan atau berpindah dengan tergesa-gesa ketika pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah dalam gerakan mencari adik Sharlinie Mohd Nashar.

Itu pesanan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar yang mengharapkan keprihatinan dan kerjasama orang ramai dalam membantu polis mencari kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu yang hilang sejak tiga minggu lepas.

Beliau berkata masyarakat perlu mengambil tahu perkembangan jiran masing-masing dan saling mengenalinya.

"Saya mohon masyarakat melaporkan sekiranya ada jiran yang berpindah secara tiba-tiba dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini supaya kami boleh menyiasat sama ada ia ada kaitan dengan kes kehilangan Sharlinie," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

Khalid berkata polis akan meneruskan gerakan mencari Sharline dan meningkatkan rondaan di tempat-tempat tumpuan kanak-kanak seperti tadika dan taman permainan bagi memastikan tiada lagi kanak-kanak yang menjadi mangsa.

"Kami tidak boleh berada di semua tempat pada setiap masa, tapi kami akan meningkatkan lagi rondaan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak yang lain," katanya.

Beliau berkata sebanyak 18,000 buah rumah telah diperiksa di sekitar Lembah Klang dalam usaha mencari Sharlinie. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan