2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Terhangat Di Pasaran - Episod 5

Sharifah melangkah melewati beberapa batang pokok berembang di pinggir jalan. Daun-daun hijau yang lebat dan suram dibayangi belak-belak malam, memayungi dirinya. Angin bertiup lembut mendesirkan bunyi dahan berlaga, dan menerbangkan sebahagian daun kering merata-rata. Bunga api-api dan balung ayam tampak kejang dan kaku di dalam pasu batu. Sekali-sekala ia melenggang-lenggok diusik bayu, menjuraikan daun urat selarinya, berkilau dan bersinar memantulkan cahaya jingga dari lampu jalan.

Sharifah melangkah lagi. Dia baru sahaja pulang mendengar ceramah dari madrasah, bertajuk "Dunia Akhir Zaman". Kata-kata berhikmah dari ustazah tadi masih terngiang-ngiang di kepalanya. Seakan tergambar imej ustazah berkenaan di hadapan matanya sedang berkhutbah dan menghayunkan tangan, turun naik.

"Para jemaah yang dirahmati Allah sekalian.." Ustazah Hindon bersyarah sepatah demi sepatah. "Agama itu asalnya dagang, dan akan kembali menjadi dagang. Pada zaman ini, agama tempatnya cuma di masjid-masjid. Ia ada di dalam Quran, di dalam perlembagaan, di dalam buku-buku ilmiah dan kitab-kitab hadith. Tetapi sayang, agama itu tidak ada dalam hati kita.. Agama hanya tinggal dalam diri kita melalui nama sebagai muslim. Tapi amalan kita jauh sekali menggambarkan ciri-ciri orang beriman. Adakah dalam keadaan seperti ini kita mahu mempersembahan diri kita kepada Allah? Adakah kita beriman ikut kehendak kita, atau ikut kehendak Allah?"

Sharifah menghela nafas berat. Fikirannya runsing. Ingatan-ingatan ustazah Hindon berbanir-banir dalam jiwanya. Dan ia menjadi semakin jelas apabila dia duduk melabuhkan punggungnya atas bangku batu menghadap kawasan tasik buatan di hadapannya. Entah kenapa, dia belum terfikir mahu pulang. Diperhatikan riak-riak air yang bersisik-sisik itu, dan alunnya berolak-alik membentuk satu objek; iaitu ilusi bulan retak di air.

Tiba-tiba dia menangis. Hatinya runsing bukan kepalang. Sudah satu minggu dia begitu. Sejak dia diberitahu Tina, Zack layak masuk ke pusingan akhir, hatinya tidak lagi menjadi tenteram. Jantungnya tertikam oleh perasaan cinta dan kesal. Dia sedar kasihnya kepada lelaki itu mana mungkin dapat dipadamkan. Bohonglah kalau dia mengatakan Zack sudah dilupakannya. Selama ini dia hanya memaksa diri mentaati perintah Illahi. Jika bukan kerana takwa dan imannya, pasti diterima sahaja Zack dalam apa jua rupa bentuk yang dipersembahkan kepadanya.

Zack sangat mencintainya. Dan cinta itu telah terbukti dengan pengakuan dan kesungguhan yang diserahkan. Dia tidak perlu ragu akan kesetiaan dan kejujuran lelaki itu. Tetapi bagaimana? Dia tidak boleh memilih seorang lelaki yang ingkar sebagai suaminya. Jika Zack tidak mampu menjadi hamba Allah yang baik, bagaimana dapat dia menjadi suami yang baik?

Ah, perasaan memang sering mempermainkan hati manusia.
Sharifah mendongak memandang langit. Pola-pola awan yang kemerah-merahan menutupi dada angkasa, menyembunyikan cahaya bintang-bintang dan sinar rembulan. Sebegitulah agaknya keadaan batinnya, terpaksa menyembunyikan cinta dan kerinduannya. Kadangkala dia berasa seperti orang hilang akal apabila kesedihan tiba-tiba menombak dada. Pernah juga, dia didorong oleh satu perasaan mahu menemui Zack. Perasaan itu tersangat sakit. Seperti ada paku melonta-lonta. Lalu dia cepat-cepat mengambil wudhu' dan membaca kitab suci Quran, maka dia menjadi tenang kembali.
Dan riak air kali itu seolah membentuk bayang-bayang Zack berdiri di belakangnya. Diperhatikan bayang-bayang itu lalu kenangan mereka bersama berpusar-pusar menjelma di ruang mata, bagaikan korakan kabus dibelah cahaya mentari di pagi hari.

"Ifa.." panggil Zack lunak sambil berdiri menyeluk saku menentang menara kuliah di hadapan mereka. Sharifah tunduk membungakan senyuman.
"Zack mahu jadi seperti Rasulullah.."
"Iya?"
"Hemm.." angguk Zack. "Zack mahu jadi seorang lelaki sebaik Rasulullah. Baginda adalah kekasih paling unggul. Kekasih yang tidak pernah melukai hati orang yang dicintainya.."
"Jika begitu.. biar saja Ifa jadi Siti Khadijah.. Tongkat yang menyokong perjuangan suaminya.."
Zack berpaling merenung Sharifah. Gadis itu sedang duduk di atas bangku. Dia tersenyum kagum.
"Iya Ifa.. kita akan jadi suami isteri contoh. Kita akan jadikan agama itu sebagai lampu yang menerangi alam perkahwinan kita nanti.."
"InsyaAllah.." janji Sharifah keharuan.

Sehingga ke saat ini pun Sharifah masih memegang janji mereka dengan erat. Dia masih mengharapkan impian murni itu bakal menjadi kenyataan. Tapi sayang, hati manusia cepat berubah. Iman jika tidak dipelihara atau diusaha untuk ditingkatkan, ia akan semakin terhakis sebagaimana pantai menyisih dihempas ombak. Demikianlah perubahan mengupas pekerti-pekerti muslim Zack satu persatu. Dari seorang lelaki kuat beramal dan cantik pula budi bahasanya, dia berubah menjadi seorang manusia rakus mengejar pujian dan sanjungan manusia.

Bukan kuasa Sharifah untuk membetulkan manusia. Hidayah dan petunjuk dalam kekuasaan Allah. Dia sudah menegur dan memberi nasihat, tetapi kalau Zack sendiri enggan menerima, dia tidak boleh memaksa. Seingatnya, Rasulullah sendiri pernah kecundang menasihatkan bapa saudaranya Abu Talib supaya beriman kepada Allah. Mungkin beginilah perasaan baginda di kala itu. Kecewa, hampa, kesal, dan sedih… Mencuba sedaya upaya untuk merubah sesuatu.. tetapi sesuatu itu di luar batas keupayaannya.
"Ifa.."

Tiba-tiba Sharifah terdengar namanya dipanggil. Dia tersentak gugup. Lamunan-lamunannya tadi pantas terhapus, langsung membawa dirinya berpijak semula di alam nyata.

"Zack.." Sharifah tergamam menyaksikan Zack terdiri di belakangnya. Dia tidak sedar sejak bila lelaki itu berada di situ. Namun keadaan Zack amat muram. Dia bagai dirundungi sesuatu. Baju kemejanya yang berwarna krim itu banyak melempiaskan warna jingga dari lampu jalan. Dan seluar jeans birunya itu sengaja disingsing agak tinggi ke pangkal betis. Sharifah dapat lihat urat-urat roma kaki Zack, halus dan meluncus sehingga ke buku lali. Terus hilang di sebalik kasut sukan Reebok warna biru. Dan apabila dia mendongak, dapat diperhatikannya pula rambut Zack yang berjuntaian, menutupi hampir separuh permukaan dahi. Bayang-bayangnya agak ke dalam, melindungkan maksud sebenar renungan dari sepasang mata seorang lelaki.

Sharifah tidak betah menghadapi keadaan itu. Pertama dia gementar kerana berdua-duaan di dalam taman, jauh dari pandangan umum. Kedua dia terkejut kerana menghadapi kunjungan yang tidak dijangkakan. Tuhan seperti memahami rindunya kepada lelaki itu. Ditemukan juga mereka berdua biar untuk seketika cuma.
"A..Apa Zack buat kat sini?" soal Sharifah tertahan-tahan. Dia menggenggam dan membuka jarinya berkali-kali. Malam itu terlalu dingin. Lututnya menggeletar. "B..bukan kah Zack sepatutnya berada di akademi waktu begini?"
"Iya, Zack memang patutnya berada di akademi.." balas Zack membuat pengakuan. "Tapi Zack curi keluar. Zack mahu jumpa dengan Ifa.."
Sharifah naik gementar mendengar.
"Tiba-tiba Zack merasakan apa yang sedang Zack lalui ini tidak bermakna.. Tiba-tiba Zack tersedar bahawa Ifa lebih penting dari segala-galanya..".

Batin terpanah dan tertusuk. Sharifah kancing gigi kuat-kuat.
"Tiba-tiba Zack tersedar, Zack bukan lagi lelaki yang dulu.. Zack sudah menjadi hamba yang ingkar. Zack sudah melanggar perintah Allah sewenang-wenangnya. Tak hairanlah kalau Allah menghukum Zack dengan hukuman kehilangan orang yang paling Zack sayangi.. Itulah hukuman paling sakit. Hukuman paling setimpal untuk menyedarkan diri Zack.."

"Zack.." celah Sharifah kemudiannya. Dalam kesamaran cahaya malam, dia menoleh. Dia dipaut oleh wajah suram Zack. Tangan lelaki itu menggigil-gigil seperti memendam sesuatu. Kerutan dahinya, getar kerongkongnya, semua itu mendatangkan simpati yang bukan sedikit di hati Sharifah.
"Jangan salahkan diri sendiri Zack. Allah tidak pernah membenci hambaNya. Pintu kemaafan sentiasa terbuka.. Jika Zack sudi kembali ke pangkal jalan.. Ifa juga akan menyambutnya dengan senang hati.."

Zack cuba hendak tersenyum, tetapi senyumannya tidak menjadi.
"Zack sudah terlalu jauh hanyut Ifa.. Masihkah ada kemaafan untuk dosa sebesar Zack?"
"Jangan cakap gitu, Zack. Ketahuilah bahawa Allah maha pengasih lagi maha penyayang.. Dosa sebesar mana pun, selagi kita tidak syirik, selagi itulah ada keampunannya."
"Apa betul kata-kata Ifa ni?" getus Zack, menagih kepastian.
Angguk.
"Tuhan masih akan memaafkan dosa-dosa yang dah Zack buat?"
Angguk.
"Walaupun dosa itu sebesar dunia sekalipun?"
Angguk.

"Dan.." suara Zack terhenti seketika. Dia merenung sayu kepada seraut wajah gadis bertudung labuh hijau muda di hadapannya. Batinnya berbalam-balam tidak menentu. "Dan.. kalau Zack pulang ke pangkal jalan, sudikah Ifa terima Zack semula?"
"Ifa.. Ifa.." Sharifah tercampak ke lembah serba salah. Suara Zack begitu sayu, kata-kata lelaki itu amat menusuk. Bagaimana dapat dia menolak harapan setinggi itu sedangkan jiwanya masih lagi menyayangi? Tidakkah terlalu cepat dia mengalah kalau terus diberikannya persetujuan?
"Ifa?" suara Zack kembali menggamit. "Macam mana Ifa? Sudikah Ifa terima Zack semula?"

Sharifah tidak tahu apa jawapan harus diberikan. Dia terdesak. Tidak sanggup rasanya dia membiarkan Zack terus diancam pertanyaan dan kesedihan. Akhirnya dia mengumpulkan segala kekuatan untuk menyatakan kesediaannya. Dia tersenyum nipis menatap wajah bungkam lelaki itu. Dia mula menyusun kata-kata yang hendak diluahkan.
Akan tetapi tiba-tiba mereka diganggu oleh satu sinar terang di sebalik pohon-pohon tempinis berhampiran. Cahaya itu terlalu terang sehingga silau mata memandang. Zack dan Sharifah terkejut. Mereka berpandangan sesama sendiri.

"Oh… kat sini rupanya kalian bercengkerama ya?" tegur Karimah bersahaja, sambil menggenggam tongkol mikrofon. Dia yang diiringi beberapa orang wartawan dan jurukamera bergerak menghampiri Sharifah dan Zack. Dengan manjanya dia menyuakan mikrofon kepada Zack. Lelaki itu terpinga-pinga.

"Wow.. ini rupanya cinta hati awak ya, Zack?" usik Karimah menyeringai. "Kami dah rakamkan aksi kalian berdua secara langsung tadi. Semuanya untuk tatapan penonton Terhangat di Pasaran. Kami percaya, awak tentu dapat undian yang banyak masa pertandingan akhir nanti. Awak ni memang bijak lah Zack. Pandai awak merancang strategi. Tentu tergugat peserta-peserta yang lain nanti.."

Zack naik berang mendengar. Dia takut kalau Sharifah salah menaksirkannya. Ini semua satu perangkap. Rupanya dia telah diekori dan diintip sejak dari tadi lagi. Patutlah senang benar dia dapat mencuri keluar dari istana penginapan sebelum ini.
Sharifah sendiri sangat kecewa menghadapi keadaan serupa itu. Dia bingkas meradang. Dia merenung Zack bersama pandangan hampa, kesal dan rasa diperdaya. Kemudian dia merenungi pula wajah menggeletis Karimah. Dan kemudian lagi kepada krew-krew penerbitan. Akhir sekali dia mendengus nafasnya dengan keras. Hatinya bengkak.
"Ifa.. Ifa tak percaya Zack tergamak tipu Ifa macam ni.." luah Sharifah dalam nada paling kesal. Air matanya gugur bagai tali gerimis di musim basah.
Zack tertindih dan serba salah.
"Kalau betul Zack nak menang sangat. .ini bukan caranya!"
"Ifa.. awak dah salah faham.. biar Zack jelaskan!" rayu Zack sepenuh pengharapan.
"Nope!" tempik Sharifah. "Sekarang Ifa dah sedar siapa Zack yang sebenarnya. Zack cuma menggunakan Ifa dan topeng agama untuk mencapai kemenangan. It's too much Zack.. Its too much..!"

"Ifa.. dengar dulu penjelasan Zack.. please!" Zack terus merayu dan mengharapkan keampunan tetapi sayang Sharifah telah pun berlalu. Tinggallah dia terpacak di atas tanah bagai lembing tergadai. Dia sangat mengesali keterlanjurannya berada di situ. Niat sucinya telah disalahertikan. Dia telah menjadi mangsa kepada taktik licik penganjur TDP. Karimah di sampingnya hanya tersenyum bangga. Bukan simpati hendak diberikan sebaliknya gadis itu tampak puas kerana berjaya mendapatkan isu paling hangat. Satu Malaysia sedang menonton siaran itu secara langsung. Dan Karimah tentu sahaja akan meraih rating tertinggi sebagai pengacara sensasi untuk musim itu.

Hujan turun dengan lebat semasa Sharifah berjalan pulang ke rumah. Seluruh pakaiannya basah. Dan air mata mengalir sealiran bersama titisan hujan. Dia duduk terpaku di atas bangku batu di luar rumahnya. Sekali-sekala gema guruh menggegar alam buana. Bunyi irama air jatuh menimpa bumi berkeletak-keletuk, mencambuk jiwa yang rapuh diterajang kesedihan.
Mengapa begini?

Mengapa Zack harus mempermainkan perasaannya? Lelaki itu benar-benar sudah berubah menjadi orang lain. Dia tidak lagi mengenali Zack.. Tergamak Zack mempergunakan cinta mereka demi meraih satu kemenangan yang sia-sia…
"Ifa.." tegur Tina di pintu pagar. Segenggam payung merah jambu tergenggam kukuh pada tangan kanannya. Dia memandang Sharifah bersama perasaan simpati.

Sharifah tunduk menangis. Sukar untuk Tina bezakan yang mana satu air mata dan yang mana pula adalah titisan hujan. Kedua-duanya sudah bercampur-baur, dan sebentar dia menyedari, tingkahlaku mereka berdua sedang diperhatikan oleh kebanyakan jiran dari tingkap rumah masing-masing.
"Ifa.. mari kita masuk.." pelawanya lembut.
"Aku tak mahu masuk Tina.."
"Isyy.. marilah.. kau sudah basah tu. Jiran-jiran semua sedang perhatikan kita.."
Untuk seketika jiwa Sharifah benar-benar terluka. Dia mengangkat mukanya yang sembab kerana terlalu banyak menangis.
"Ifa.." Tina tergamam memerhati.
"Oh.. jadi rupanya kau juga dah melihat aku di kaca tv, tadi?"
"Hemm.." angguk Tina.
"Dan jiran-jiran juga..?"
Angguk lagi.
"Bukan aku dan jiran-jiran aja.. tapi satu malaysia.." beritahu Tina dalam nada berat.
"Oh Tuhan.."

Sharifah tidak dapat membayangkan betapa terhina dirinya. Sambil menekup muka, dia kembali digenangi tangisan. Tersengguk-sengguk dadanya mengawal ombak-ombak kekecewaan. Serasa hujan yang membasahi diri adalah tangisan langit memujuk dan mengusap dengan lembut. Mengapa sebesar ini dugaan Tuhan timpakan untuk menguji dirinya?

Oh Tuhan.. aku adalah gadis yang lemah. Jangan timpakan aku dengan ujian yang tidak termampu untuk kutanggungi.
"Ifa.. sudahlah tu.." pujuk Tina semula.
Tangis Sharifah semakin melebat.
"Jom kita masuk.. Nanti kau sakit, sapa yang susah?"

Sharifah mengalah juga akhirnya setelah dirayu Tina berkali-kali. Dia bangkit dari bangku batu, bergerak menghampiri Tina. Dia didakapi dan dipayungi. Di dalam jaringan perasaan yang sungguh memilukan, mereka melangkah masuk meninggalkan halaman. Kini tiba ke dalam rumah. Pintu kayu buatan mahogany itu ditutup perlahan-lahan. Tamatlah satu lagi kisah sedih melanda umat manusia untuk malam itu. Esoknya, siang masih panjang dan sinar mentari bakal menunggu. Apakah ada riang atau keuntungan untuk Sharifah? Atau sahaja satu lagi bentuk kesedihan akan menimpa dirinya?

Bersambung….
try , Sabtu, Disember 23, 2006 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog