2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Anak Merdeka

Oleh Sammaituha Najwa

TAP! Hayunan rotan sepanjang lengan menjamah meja. Saya memanah indera ke hadapan. Pelajar-pelajar berusia sepuluh tahun di hadapan, saya renungi tampang paras mereka satu persatu. Ada yang menunduk dan ada juga yang masih tersenyum-senyum. Tidak kurang masih kedengaran tawa yang bersisa. Saya keberangan. Pantas kaki melewati beberapa buah meja mencari empunya ledak tawa yang masih bersisa. Seisi kelas persis diserang garuda tiba-tiba. Ritma gegeran sirna terus. Tiga puluh enam pelajar menikus. Alur pucat tampak di beberapa wajah. Di beberapa jihat, ada yang menunduk menatap lantai simen yang tidak beralas. Barangkali ketakutan dengan tingkah saya sebentar tadi.


 



Saya melewati pelajar di deretan tengah. Meja yang bersambung tiga menjadi destinasi. Tiga pelajar yang tadi galak mengekek menyudahkan sisa tawa terdiam menerima kehadiran saya.

“Farhan, apa yang kamu faham tentang merdeka?” Tegas kedengaran soalan saya di hujung suara. Panas mula menjelira ke muka.

“Erm... Merdeka tu maknanya merdekalah,” Pelajar bernama Farhan itu menjawab selamba. Mengundang tawa seisi kelas.

Kesabaran saya tercabar. Hati serasa sakit. Kepanasan mengabui atma persis sebuah gunung berapi mahu memuntahkan lahar ke bumi.

Sekali lagi meja pelajar menjamah rotan sepanjang lengan di tangan saya. Kelas Empat Zamrud sekali lagi bagai diserang garuda. Sejeda. Namun masih kedengaran suara-suara halus dari meja barisan pelajar yang bernama Farhan tadi. Dua pelajar yang duduk berdekatan Farhan bertepuk tangan seraya menunjukkan ibu jari kepada pelajar yang bernama Farhan itu. Mereka bertiga terus tertawa tanpa mempedulikan saya yang sudah tidak lagi ditunjangi kesabaran.

“Tuhan, kurniakan aku kesabaran yang maha tinggi. Usah Kau jadikan amarahku ini bukan semata-mata kerana-Mu. Jauhi daku daripada nafsu amarah bertuankan syaitan yang sering kali ingin menyesatkan anak Adam.” Hati saya berbicara sendiri.

Saya benar-benar tidak mampu mengawal amarah yang sudah mula merajai tangkai hati. Pantas lafaz istighfar saya lazimi berkali-kali. Saya tidak mahu berterusan dibelenggu amarah yang hanya akan menjauhkan saya dan pelajar akan hakikat sebuah kemerdekaan.

“Zaidan, apa pula yang kamu faham tentang merdeka yang bakal disambut masyarakat Malaysia beberapa hari lagi? Saya tidak mahu jawapan yang sama dengan Farhan. Jika jawapan yang diberikan adalah sama, kamu semua bakal saya denda.” Sengaja saya mengugut pelajar yang duduk bersebelahan dengan pelajar yang bernama Farhan. Mereka antara pelajar yang agak nakal menurut cerita guru-guru di sini.

“Erk, Cikgu! Merdeka tu maknanya kita sudah bebas daripada penjajah. Betul tak cikgu?” Pelajar yang bernama Zaidan itu mula menggaru-garu kepala. Tancap pandangnya dihalakan ke muka saya seolah mahu saya menyatakan jawapan yang diberikan adalah betul. Dia tiba-tiba tersengih. Kemudian tertawa dengan jawapannya. Seperti tadi, Farhan dan seorang lagi pelajar berdekatan mereka bertepuk tangan dan menunjukkan ibu jari sesama mereka kemudian tertawa.

‘Tuhan, amanah ini terlalu berat. Mengapa harus aku yang Kau pilih untuk membetulkan mereka?’

Kepulangan yang dirancang untuk melepaskan rindu bersama keluarga pada mulanya terpaksa dientengkan lantaran permintaan seorang tetangga yang kebetulan berjiran dengan saya sekeluarga. Saya yang sememangnya tidak mempunyai agenda lain selain bersama keluarga menyetujui permintaan, selepas mendengar keluhnya yang mengadu akan kesusahan terpaksa mengganti beberapa orang guru yang menjalani kursus selama beberapa bulan.

Tidak terlintas di hati yang saya akan berhadapan dengan situasi-situasi yang tidak dapat ditangani. Semasa berada di Perlembahan Nil, saya hanya mendengar ceritera teman-teman dan menatap akhbar di jaringan maya akan perihal pelajar-pelajar yang sudah mula tunjuk taring di hadapan guru-guru. Kini, saya sedang berhadapan dengan situasi yang telah didengari dan ditatap di dada-dada akhbar. Pelajar kini bukan seperti generasi terdahulu. Rasa hormat kepada guru juga sudah semakin menipis dalam atma mereka. Hampir dua minggu menjalani rutin seorang guru, telah banyak masalah terpaksa saya lalui. Akhlak pelajar yang kian parah, benar-benar mengkhuatirkan saya. Ditambah dengan kebiadapan pelajar yang lebih rela berkiblatkan Barat benar-benar menguji keimanan dan tanggungjawab diri sebagai seorang guru dan pendakwah.

Pantas dimensi fikir digentayangi kalam-kalam diskusi kala masih di Perlembahan Nil. Ah! Amat mudah mendiskusikan rencam masalah masyarakat yang timbul. Namun, amat payah apabila jasad sendiri terjun mempraktikkan ilmu yang dipelajari dan didiskusi. Ibarat bertemu marakan api yang sedang menjulang; merelakan diri terbakar atau membiarkan generasi Islam berterusan hancur akibat ghazwatul fikri Barat yang sememangnya mahu menghapuskan Islam daripada muka bumi.

“Merdeka itu hanya akan wujud apabila kita bebas mengamalkan ajaran Islam tanpa disekat dan seluruh jasad yang hidup mengetahui akan matlamat kehidupan yang Islam gariskan. Melaksanakan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar.” Dimensi fikir didatangi bicara Muqaddasah; teman satu fakulti yang begitu menghargai sebuah kemerdekaan menerjah tiba-tiba.

Perawan dari kota Al-Quds itu satu fakulti pengajian dengan saya di universiti Al-Azhar. Perkenalan atas kepayahan mengurus pembayaran rusam kuliah telah berlanjutan menyatukan ukhuwah kami.

“Aku menanti akan lahirnya Salehuddin kedua memerdekakan kota Al-Quds dari tangan kuffar rejim Zionis dan sekutunya.” Al-Quds akan setia meniti di bibirnya apabila kami punya peluang berkongsi masa dan ceritera. Redup dan sayu wajahnya sering membuatkan saya memperbetulkan diri akan budi yang telah saya kirimkan buat saudara seIslam di kota Al-Quds. Nihil. Sehingga kini tiada apa-apa yang pernah saya sumbangkan buat saudara seIslam di sana. Saya makruf duka mereka.

Masih tak mengerti

Pang! Bunyi kotak pensil besi yang jatuh dari meja seorang pelajar menggugah dimensi fikir saya pada Muqaddasah dan saudara-saudara di kota Al-Quds. Alatan tulis yang bertaburan saya renungi. Pensil-pensil dan alatan tulis berselerak dan bersepah di lantai simen itu cukup menggambarkan hati dan perasaan saya ketika ini. Kecewa. Terlalu. Pantas jemari saya menyeka kolam mata yang telah mula ingin dibasahi manik jernih.

“Hanya itu yang kamu tahu fasal merdeka?” Masih seperti tadi.

Amarah saya tidak menampakkan tanda-tanda mahu surut dan padam. Malah, semakin menyala ekoran tingkah tiga pelajar yang saya rasakan begitu memandang rendah akan kredibiliti diri seorang guru. Senyum di bibir telah lama dibakulsampahkan. Semenjak pulang dari hari pertama mengajar dahulu. Merenungi akhlak dan situasi yang berlaku, mereka perlu diajar. Senyuman hanya akan membuatkan mereka bebas memijak dan memperkecilkan kemampuan saya dalam mentarbiah mereka. Sesekali mereka harus dilentur melalui keseriusan agar mereka mengerti kehidupan dan pelajaran adalah percaturan, bukan suatu mainan.

“Emir, apa pula yang kamu faham tentang merdeka? Apakah cukup sekadar mengetahui merdeka itu sekadar kita sudah bebas daripada penjajah? Bagaimana pula kamu menghayati Hari Kebangsaan setiap tahun? Adakah cukup dikatakan merdeka dengan hanya kita berkumpul di dataran dan melaungkan ‘Merdeka!’ apabila tepat jam dua belas malam pada setiap 31 Ogos? Kemudian, pulang dengan tiada apa-apa?” Seorang lagi pelajar berusia sepuluh tahun yang duduk bersama Farhan dan Zaidan menjadi sasaran saya.

Emir bangun lambat-lambat dari kerusi. Dengan mimik muka yang agak menyakitkan hati, Emir tidak mengendahkan soalan saya. Dia hanya tunduk memandang meja. Tangannya menguis-nguis tepi meja yang berbalut.

Saya berusaha meraba nyaman. Terusan beristighfar memadam api amarah yang sudah menggila ditiup semilir syaitan. Sengaja saya mengatur langkah menuju ke meja guru. Mahu duduk menghilangkan amarah. Mengamal akan ajaran Islam yang ada menyatakan jika diri berada dalam keadaan marah ketika berdiri hendaklah duduk. Jika berkeadaan marah dalam keadaan duduk hendaklah berdiri. Kemudian segera berwuduk juga menunaikan solat sunat.

Beberapa helaian kertas bersaiz A4 di tangan menjadi singgahan kerlingan mata saya. Semuanya kerana helaian kertas ini. Kertas yang mengandungi tulisan tangan saya sendiri. Tulisan yang pada asalnya adalah luahan penderitaan hati dan ceritera-ceritera duka Muqaddasah dan saudara-saudara Islam di kota Al-Quds yang telah saya abadikan menjadi beberapa buah sajak. Bersempena bulan kemerdekaan. Pihak sekolah telah menganjurkan pertandingan mendeklamasi sajak bagi menghidupkan bulan patriotisme yang berlanjutan selama sebulan. Setiap kelas diwajibkan menghantar tiga wakil bagi pertandingan yang dianjurkan. Memandangkan tema sajak adalah bebas dan menjadi tanggungjawab guru kelas masing-masing, saya telah memilih sajak-sajak sendiri untuk dideklamasikan. Tiada lain niat saya, sekadar mahu setiap atma yang mendengarnya menghargai akan sebuah kemerdekaan dan sama-sama merasakan jeritan serta tangisan saudara-saudara seIslam di kota Al-Quds. Namun, tingkah pelajar yang tidak mahu memberi tindak balas yang baik dan kebiadaban mereka membuatkan saya dijelirai keberangan. Sajak-sajak tersebut bukan sahaja tidak mahu dideklamasikan bahkan kota Al-Quds turut diperlekehkan lantaran kejahilan akan kepentingan kota ketiga umat Islam tersebut. Hati saya terguris apabila kota yang pernah menjadi kiblat pertama itu diperlakukan demikian.

“Kota Al-Quds telah terlalu lama berdarah. Namun, sehingga hari ini tiada negara Islam yang berani tampil membebaskan. Analisis menunjukkan umat Islam adalah majoriti penduduk dunia berbanding bangsa Yahudi. Tetapi, mengapakah kita tidak mampu mengalahkan rejim yang dilaknati Allah tersebut? Hakikat yang tidak umat Islam sedari sebenarnya, kita hari ini telah jauh membelakangkan ajaran Islam itu sendiri. Lantaran kita buta dalam agama yang kita anuti.” Seakan tiba-tiba bicara Muqaddasah menyusup masuk ke corong telinga saya. Dan, anak-anak yang dilahirkan selepas merdeka di hadapan saya kini saya telusuri satu-persatu parasnya. Serasa mereka tamsilan yang Muqaddasah sebutkan tidak lama dulu.

“Na’uzubillahi minzalik.” Istiazah mercup dari bibir saya. Tidak ingin membenarkan tamsilan yang bertandang.

“Tingkah kamu sekalian membuktikan kamu masih belum merdeka. Terjajah. Malah, akan terus terjajah untuk kali yang kedua, ketiga dan berikutnya. Jika beginilah sikap dan tingkah laku kamu, kamu tidak layak merasai nikmat merdeka yang diperjuangkan tokoh-tokoh terdahulu.” Lebur amarah saya dalam sedikit sisa sendu yang masih menangisi penderitaan Muqaddasah dan saudara seIslam di kota Al-Quds. Indera terus memaku pandang pada anak-anak merdeka yang sudah tidak lagi merdeka pada mata saya.

Hargai nilai merdeka

Bicara saya sudah berlainan nada. Sedih, hampa, kecewa tentunya. Tiga puluh enam jasad yang menjadi sasaran amarah saya sebentar tadi memberanikan diri menatap wajah saya. Barangkali hairan akan perubahan mendadak tersebut.

Manik jernih yang telah cuba ditahan akhirnya tumpah. Pantas. Saya tidak menunggu lama. Agak bodoh rasanya membiarkan diri berkelakuan sedemikian di hadapan anak-anak merdeka yang sama sekali tidak menghargai kemerdekaan.

Saya menyambung bicara. Satu-persatu tokoh-tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu saya sebutkan; Dol Said, Mat Kilau, Abd Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Tok Janggut dan lain-lainnya. Lalu saya sebutkan kegigihan tokoh-tokoh terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, juga peri penting kemerdekaan yang diraih dipelihara sebaiknya dengan membuka kisah derita kota Al-Quds yang masih berdarah sehingga kini.

Bermula dari seorang wartawan berbangsa Yahudi bernama Theodor Herzl yang melontar idea penubuhan sebuah negara berasaskan agama dan bangsa Yahudi di Palestin yang telah menjangkau seabad lebih penjajahan, sejarah Syabra Syatila; peristiwa penyembelihan umat Islam yang telah mengorbankan hampir 3,500 umat Islam dan keberanian kanak-kanak Palestin seusia anak-anak merdeka di hadapan saya yang ada di antara mereka masih tidak mengerti apa-apa; bersama melempar dan melastik batu-batu ke arah rejim Zionis demi memelihara kedaulatan tanah air yang mereka cintai.

Kematian umat Islam di Palestin berlaku setiap hari. Mereka dibunuh sewenang-wenangnya dengan pelbagai cara tanpa mengira usia. Termasuk bayi-bayi yang baru dilahirkan dipijak sehingga tidak lagi bernafas di hadapan mata ibunya sendiri. Orang-orang tua turut disiksa dengan siksaan-siksaan yang berat dan ada di kalangan mereka dikumpulkan di tanah-tanah lapang, kemudian ditembak dari semua penjuru. Satu-persatu wajah keanakan mereka saya seluruhi mengharap ceritera itu menjelira ke jihat atma-atma mereka. Khali. Di kalangan tiga puluh enam pelajar tersebut saya perhatikan, ada yang tiba-tiba mengesak tangis. Farhan, Zaidan dan Emir juga kelihatan tersedu-sedan.

Saya melontar pandang ke luar jendela. Langit kelihatan mendung kehitaman bakal menurun hujan. Serasa Muqaddasah kini berada di sisi saya. Hampir. Rapat dan karib merestui tingkah saya.

“Aku mengagumi sahsiah terpuji Sultan Abdul Hamid. Baginda pernah ditawarkan habuan lumayan daripada Theodor Herzl berupa seratus lima puluh juta wang emas Inggeris, perjanjian bahawa beliau akan melangsaikan semua hutang kerajaan Khilafah Uthmaniah. Beliau juga akan menubuhkan Universiti Uthmaniah di kota Al-Quds dan Yahudi akan memberikan sokongan politik kepada Sultan Abdul Hamid di Eropah dan Amerika. Akan tetapi, sebagai jawapan Sultan Abdul Hamid menyatakan: “Saya tidak boleh bertolak ansur walaupun sejengkal daripada bumi Palestin kerana ia bukan milik saya. Bahkan, ia adalah milik umat Islam seluruhnya yang telah berperang dan mengorbankan darah untuk mendapatkannya. Seandainya kamu membayar kepada saya dengan kesemua emas yang ada diatas muka bumi ini sekalipun, saya tidak akan benarkan kamu mengambil bumi Palestin.”

Siapa menduga sore itu merupakan detik terakhir saya bersama Muqaddasah. Usai Muqaddasah meluahkan kekagumannya terhadap khalifah terakhir dinasti Turki Uthmaniah, dia tidak lagi saya temui.

“Cikgu, maafkan kami. Kami berjanji akan membantu cikgu dalam pertandingan sajak tersebut dan kami akan menghargai hari kemerdekaan yang bakal tiba.”

Kelihatan Farhan berdiri hampir dengan saya diikuti pelajar-pelajar Empat Zamrud yang lain. Tangan saya dicapai. Kemudian dicium mereka. Saya hanya mengangguk dalam senyum kepayahan.

Langit yang tadi mendung kehitaman berubah gerimis. Tempiasnya mengenai jendela-jendela kelas Empat Zamrud seolah turut sama menangisi dan menginsafi akan duka Al-Quds, pemergian Muqaddasah dan janji anak-anak merdeka.

Biodata

SITI Khadijah Abd Ghaffar atau nama penanya, Sammaituha Najwa, penulis baru dalam persada sastera negara ini. Beliau berkarya dalam genre cerpen dan sajak. Karya pelajar Tahun Tiga, Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir ini pernah mendapat tempat dalam majalah Tunas Cipta.

try , Jumaat, Disember 15, 2006 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog