2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Takagi Sayang (Part 16/22)


img322
Originally uploaded by Yoshihiro.


IKAN cencaru masak kicap masih berwap di atas meja. Sepiring sayur sawi celur terhidang elok sementara sambal belimbing buluh kutatang berhati-hati ke meja. Mataku liar melihat ke arah buaian. Pehh.. nasib baik si kembar tu nak tidur akhirnya! Selesai menghidang makanan dan menutup dengan tudung saji, aku segera berkejar ke mesin basuh.
Baju sebanyak dua bakul itu belum lagi berjemur. Bakul pakaian kuangkat kemudian berjalan pantas menuju ke ampaian di belakang rumah. Jam sudah hampir pukul dua petang sedangkan banyak kerja rumah masih belum sempat dibereskan! Satu persatu pakaian demi pakaian kujemur. Terik mentari terasa membakar wajahku.

Lepas ni aku mesti nak bersihkan bilik air pulak. Kemudian kemas ruang tamu yang berterabur dikerjakan anak-anak aku tu tadi. Hmm.. sejak menjadi ibu 9 bulan yang lalu rutin hidup aku memang ketat. Kalau dulu ada adikku si Rina turut meringankan tangan menjaga anak buah mereka, tapi sekarang aku terpaksa melakukannya seorang diri. Rina sudah ke UNIMAS 4 bulan yang lalu menyambung pelajaran.

Sejak mempunyai anak sendiri ini, barulah aku merasa betapa susahnya emak membesarkan kami adik beradik. Seketika aku terasa terlalu sedikit jasa bakti aku terhadap emak. Sembilan bulan 12 hari aku membawa anak kembarku ke hulu ke hilir, kemudian kesakitan di saat melahirkan, hanya tuhan saja yang mengerti azabnya melahirkan dua nyawa.

Maka sejak itu, segala kata emak aku turut tanpa banyak bantahan, walhal sebelum ini akulah yang selalu memprotes setiap kata-kata emak yang kurasa tidak penting dan tidak betul.

"Amboi.. panjang menung.. " Aku tersedar dari lamunan. Aznil sedang tersenyum sambil merapatiku. Tanpa terpaksa dia turut membongkok mengambil pakaian dari bakul dan membantu menjemur di ampaian.

"Dah lama ke abang balik?"soalku sambil tangan ligat meneruskan kerja. "Dah lama juga.. kenapa Yan termenung?"soalnya ingin tahu. Dia masih memakai baju basahan yang selalu dipakai bila ke kolam udangnya. "Tak ada apalah.. rasanya susu budak-budak tu dah nak habis.. tu Yan fikir nak pergi beli petang ni.."ujarku. "Abang nak makan? Pergilah makan dulu.. dah lewat dah ni.."suruhku.

Kesian, dah lah penat bekerja, kena pula tolong aku selesaikan kerja-kerja rumah. "Habis Yan dah makan?"soalnya. "Yan nak habiskan kerja dulu. Bilik air tak bercuci lagi.. dapur tu tak clear lagi Yan masak tadi tinggal macam tu je.."jelasku.

Memang sejak lepas subuh tadi aku tak sempat nak buat apa. Tepat pukul 6.00 pagi Habil dan Hazil sudah terbangun dari tidur. Kalau seorang bangun seorang tidur tak apa juga.. ini kalau si abang terbangun adik pasti terbangun sama. Biasanya Aznil akan mandikan mereka selepas dia sembahyang subuh. Sementara aku siap menyediakan sarapan dia akan bermain-main dengan anak-anaknya itu. Pukul 7.00 Aznil harus ke kolam udang melihat peraih datang mengutip hasil untuk dijual ke serata tempat. Sepanjang masa itulah aku harus mengasuh kedua puteraku itu yang tersangatlah lasaknya.

"Tinggal dulu kerja ni.. mari makan dulu.."Aznil menarik tanganku. "Tak apalah.. abang makanlah dulu.. Yan selesaikan kerja dulu.."aku masih berkeras. Bukan apa.. kejap lagi pasti mak mertua aku datang untuk bermain-main dengan cucu kembarnya. Bukan sekali dua dia menegur bila melihat keadaan rumahku yang sudah tak sekemas dulu.

"Kita.. jadi emak ni.. kena pandai-pandai bahagikan masa.. itulah gunanya menjadi seorang isteri. Jaga rumah tangga.. jaga anak.. jaga makan minum suami.. rumah.. jangan biar bersepah.. Aznil tu balik ke rumah nak berehat. Kalau macam ni punya berselerak rumah.. macammana fikiran dia nak aman.."sungutnya pada suatu hari.

Apa lagi yang harus aku katakan? Bukan aku tak mengemas itu dan ini tapi keadaan tetap berserabut juga sejak kehadiran sepasang kembar yang semakin aktif ini. Kadang-kadang aku rasa anak-anak aku sengaja ingin menduga kesabaran. Si Habil dan Hazil kalau tak kena anginnya sepanjang masa mahu didukung. Kadang-kadang sampai nak patah pinggang aku mengelek mereka berdua di kiri kanan. Dulu semasa Rina ada aku masih mampu mengawal keadaan rumah dan anak-anak.. tapi sejak Rina tiada membantu terasa sukar sekali untuk menguruskan suami dan anak-anak.

"Tak baik mengeluh.. tu kan rezeki.. mak dulu pun beranak macam kamu juga alhamdulillah.. tak ada masalah.."emak menjawab bila aku ceritakan kesukaranku kebelakangan ini. "Iye la mak.. mak anak sorang-sorang.. Yan ni kembar.. pulak tu lasak bukan main.. Habil dan Hazil tu memang pantang tengok Yan mengemas.."

"Susun jadual.. pagi tu.. jangan bangun bila anak bangun.. bangun awal.. pukul lima tu bangun. Basuh baju siap-siap.. dah siap sidai senang. Boleh pulak menyapu sampah ke apa ke.. bukan lama mana pun.. kamu tu aje semua perkara susah.."Aduiii.. kena lagi aku dengan mak!

"Tak pun kalau susah susah sangat kasi aja Ina jaga sorang Along!"sampuk adikku yang sedang leka menonton tv. Amboi.. banyak songeh.. aku penat-penat bawa perut ke hulu ke hilir.. dia pulak senang-senang je nak ambil anak aku! "Iye la tu.. ada ke masa nak jaga? Nak pergi tuisyen lagi.. nak sekolah lagi.."soal emak. Ina Cuma sengih.

"Yan.."bahuku ditepuk. Aznil menggeleng kepala sambil tersenyum. Ehh! Dah habis baju dia sidai?? "Err.. dah habis?"soalku. "Ala.. abang tengok Yan asyik berangan aje.. dah jom kita masuk.. abang dah lapar ni!"Aznil memelukku mesra dan kami beriringan masuk ke dalam rumah. "Emm sedapnya.."Aznil memuji sambil memandangku. Lauk simple macam tu dia kata sedap? Aku tersenyum sedikit sedih. Cuma itu saja yang sempat aku masak hari ini kerana Habil meragam tak boleh melihat aku pergi jauh darinya hari ini. "Abang.. sorry.. Yan Cuma sempat masak ini je hari ni.."pintaku. "Ala.. asal masak sudah.. mari kita makan!"Aku akur dan mengambil pinggan dari rak.

Segera aku menyusun di atas meje sebelum menuju ke periuk nasi. Eh.. aku mengamati periuk itu lama. Apasal sejuk aja ni? Soalku sendiri sambil mengangkat penutup. Alamak!!! "Kenapa Yan?"soal Aznil yang sedari tadi memerhati aku. Aku menarik nafas. Kenapa bodoh sangat aku ni???? "Abang.. sorry.. Yan lupa masak nasi.."Aznil memandangku terkejut.. tapi selepas itu dia kembali tersenyum. "Tak apalah.. masak nasi, biar abang mandi dan sembahyang dulu.. okey?"dia bangun dan sempat mengucup dahiku sebelum berlalu meninggalkan ruang dapur. Dalam hati aku menyumpah sendiri. Kenapa dengan aku ni hah??

Mak mertua aku memandang sekitar rumah sambil meriba Habil yang leka bermain kereta di tangannya. Aku Cuma mengangkat kening bila mata orang tua itu melilau melihat rumah yang lintang pukang. Sambil itu tangan pantas mencapai apa-apa yang sempat dikemaskan. "Anak kau ni dah makan ke belum?"soalnya. "Dah mak.. dua-dua makan banyak hari ni, kan Habil kan?"Aku mengagah Habil yang mudah tertawa itu. Hazil yang berada di pangkuanku ikut tertawa bila melihat abangnya tertawa. "Kau ni Yan.. mak tengok makin hari makin berisi pulak.."teguran ibu mertuaku itu membuatkan aku terdiam.

Hmm.. sejak dua menjak ni mak Aznil ni bertambah cerewet. Minggu lepas dia kata aku ni kurus tak bermaya, macam orang tak makan. Hari ni dia kata aku makin gemuk pulak. Tapi bila aku timbang tak adalah berat badan aku naik sangat.. 55 kg je.... "Agaknya kau ni kuat sangat tidur.. muka pun dah sembab.. " Opss.. macam tau-tau aja mak mertua aku ni. "Jangan amalkan kerap tidur.. tak elok.. jamu yang mak beli ari tu kau ada makan tak?"soalnya. "Err.. makan.."jawabku, tapi yang sebenarnya sedikitpun aku tak sentuh. Siapa yang lalu nak makan jamu yang pahit tu? Kalau dalam bentuk kapsul tak apa juga.. ini dalam bentuk serbuk. Belum makan lagi baunya dah buat tekak nak loya.

Ada la sekali aku minum bancuhan jamu itu, tapi bila dah termuntah sehingga buat aku terbaring di katil sepanjang hari taubat aku nak sentuh lagi. Sudahnya jamu-jamu itu menjadi penghias kabinet dapur.

"Assalamualaikum!!"satu suara di luar membuatkan kami menjengah. Aku memanjangkan leher. Alamak.. bala dah datang! "Oii Esah rupanya.. naiklah.."emak menjemput tamu itu masuk. Aku meletakkan Hazil di atas tikar buluh dan ke dapur mengambil cawan lain. Kak Esah ni sejak jadi dealer jamu Puspa Kencana rajin benar bertandang ke rumah ini. Lebih-lebih lagi bila dia tengok ibu mertua aku datang, sekejap aja dah ada dia menyinggah sama. Nak promote barang la apa lagi.. mangsanya.. akulah! Siapa lagi? Tak percaya kejap lagi sure akan terbabas sebotol dua tu karang ke tangan aku.. dah seminggu dua ni tak ada pula dia datang. Kemana agaknya dia pergi. Berjual jamu kat tempat lain kot! Elok juga dia tak ada..selamat duit aku..

"Dengar cerita kamu baru balik dari Indonesia Esah.."emak memulakan perbualan.

"Ha ah Kak Som! Bukan apa.. tauke jamu yang saya jual tu yang taja.. 5 hari kat sana kak.."kak Esah memulakan cerita sambil membetulkan kebaya pendek yang dipakainya. Aku senyum sendiri. Teringat beberapa bulan dahulu sebelum menjadi tauke jamu, penampilan kak Esah memang jauh berbeza. Ibu tunggal beranak 6 itu berbadan agak berisi juga. Tapi sejak dia dipelawa menyertai Puspa Kencana, dari hari ke hari banyak perubahan yang berlaku. Dia tidak lagi ke kebun getah menoreh susu getah, sebaliknya mengukur jalan mempromosikan produk jamu yang dicubanya. Memang aku tak nafikan, kesan yang berlaku amat ketara. Bayangkan kak Esah yang berat hampir mencecah 80 kg dahulu kini begitu bangga dengan berat badan 48 kg!

"Seronoklah kamu kat sana ye?"soal mertuaku lagi. "memang seronok kak.. saya melawatlah kilang memproses jamu-jamu tu.. lawat ladang-ladang yang digunakan untuk buat jamu-jamu ni.. memang seratus peratus tulen kak.."kak Esah bercerita lagi penuh semangat. "Iyelah Esah.. kamu tu pun akak tengok makin lawa.."

"Terima kasih.. berkat sabar dan rajin kak.. inilah hasilnya.. akak pun belum terlambat lagi nak jadi macam saya.."pujuknya. "Ehh jangan nak mengarut Esah.. aku ni dah tua.. kalau menantu aku ni tak apalah!"selamba mak mertua aku menepuk pehaku membuatkan aku tersengih. Alamak.. tu macam petanda buruk je tu..

"Hmm.. kau ni Yan, kalau tak jaga badan tu alamatnya jadi macam tong air la.. cubalah produk akak ni.. hah.. ni dia akak ada bawa.."Dia mengeluarkan botol-botol jamunya dari beg yang sentiasa dibawa ke sana ke mari. "Yang ini untuk buang angin, melancarkan perjalanan darah.. orang lepas beranak eloklah makan jamu ni.. berkhasiat.. " dia menunjukkan jamu bernama Puspa Tenaga.

"Ini untuk turunkan berat badan buang lemak-lemak yang berlebihan masa mengandung dulu.."Jamu Susut Ayu pula ditunjukkan. Aku Cuma mengangguk-angguk. "Jangan angguk-angguk aja Yan.. beli, cuba dulu baru tahu.."pujuk Kak Esah lagi. Aku sengih lagi.. nak melakukan barang memanglah indah betul kata-kata Kak Esah oii!! "Cuba kau tengok Senah sebelah rumah mak kau tu.. masa mengandung anak keempat dulu.. masyaAllah punyalah bulat..sekarang kalau kamu tengok, badan macam anak dara.. semua tu sebab dia ambil jamu kurus akak ni la.. macammana? Nak cuba tak!"soalnya lagi.

"Ambil dulu sebotol dua..cuba.. " sampuk mak mertuaku pula. Hmm.. "Kena tanya abang dulu mak.."aku memberi alasan. Malas aku nak makan-makan ubat pahit ni. Lagipun Aznil tak pernah merungut pasal perubahan aku. Asalkan dia cintakan aku sepenuh hati, sudahlah!

"Ala tak payah tanya-tanya.. nak cantik pun untuk dia juga.."sampuk kak Esah. "Betul kata Esah tu.. ambil ni sebotol, jamu Puspa Tenaga tu satu.."desak ibu mertuaku pula, menyokong kata-kata kak Esah yang memang sengaja mengumpan pembeli. "Kalau nak lebih elok ambil jamu Hikmat Seribu ni.. baru lengkap makan.. "Letak aja Esah.. " Aku tak dapat berkata apa-apa bila melihat tiga botol jamu itu diletakkan di depanku.

"Semua sekali RM93.00, nak bayar esok-esok lusa pun tak apa.. cuba dulu.."Kak Esah tersenyum, puas hati kerana barangnya sudah terjual. Aku pula bermuka kelat melihat barang-barang yang dibeli secara terpaksa itu. Bukan apa.. nanti kalau aku banyak soal kecil hati pula hati ibu mertua aku tu..

"Tak apalah kak.. Yan bayar terus ajelah.."Aku bangun malas menuju ke bilik. Hmm.. memang bosan sungguh! Dalam hati aku berdoa.. cepatlah balik Aznil

Bersambung..................

try , Isnin, Julai 17, 2006 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog