2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Sesuci Hati Isteriku [ Episod 3/20]

~Wajah semanis madu Hati luka tak siapa tahu~


Ketika dia tiba di kawasan pantai itu hari masih pagi sekitar jam sebelas lebih. Pemandangan laut yang terbentang sangat meredupkan mata memandang. Nampak sungguh indah dengan kebiruan air laut dan pancaran matahari yang mula meninggi di atas kepala. Senyuman mengorak di bibir Riana. Sudah lama benar dia tidak ke sini. Port Dickson. Bagi orang lain apalah sangat yang boleh dibanggakan dengan pantai di sini, airnya semakin kotor, kata mereka. Riana tidak peduli. Dia bukan ingin bermandi-manda di pantai, dia cuma ingin menghirup udara laut dan menjamu mata dengan pemandangan kebiruan yang mendamaikan ini. Hatinya tenang dapat membebaskan diri seketika dengan segala permasalahan.

Selepas mendaftarkan diri di kaunter penyambut tetamu, terus saja dia naik ke bilik di tingkat tiga. Apabila dikuak langsir yang menabiri tingkap bercermin itu, terserlahlah satu pemandangan laut yang membiru seluas mata memandang. Amat cantik. Jika dipandang ke bawah boleh nampak pantai berpasir putih dan teluk kecil buatan manusia, di tepinya ada pokok-pokok kelapa tersusun elok. Berhampiran bangunan hotel ada kolam mandi untuk anak-anak pengunjung bermain air.

Riana membuka tingkap seluas-luasnya agar bayu laut dapat menerobos masuk. Di situ dia berasa tenang setenangnya.

Remie tidak tahu dia di sini. Sengaja Riana tidak memberitahu. Biar dia mencari ke serata ceruk Kuala Lumpur, biar dia mengamuk. Riana benar-benar berjauh hati dengan sikap Remie yang tidak ambil pusing tentang hasrat hatinya. Kenapa Remie terlalu liat bila berbicara tentang nikah kahwin. Sanggupkah dia hidup begitu selama-lamanya ? Sudah puas dia cuba memahami hati Remie, tetapi lelaki itu tidak pernah cuba memahami hatinya. Dia cuma ingin hidup dengan tenang di samping seseorang yang disayanginya. Dalam keadaan sekarang mana mungkin dia tenang andai setiap waktu dihimpit dosa yang menggunung.

Remie. Seorang lelaki yang keras hati dan sukar diduga pemikirannya. Kadang-kala dia begitu suka mendesak orang mengikut kemahuannya, kadang-kala dia boleh menjadi begitu lembut dan bertoleransi. Ada kalanya dia berangin tidak menentu, ada masanya dia seorang kekasih yang romantik. Satu perangainya yang nyata, dia sangat tekun bekerja dan tidak suka diganggu dengan perkara-perkara remeh di saat sedang bekerja. Lelaki itu juga pantang sesekali didesak. Sebab itu Riana tidak berani bercakap banyak kali tentang hal nikah kahwin ini. Tengok saja selepas malam dia menangis di sejadah hari itu, selepas berbicara tentang kahwin Remie langsung tidak muncul-muncul lagi sehingga ke hari ini. Biarkan dia dengan dunianya.

Riana tidak mahu memikirkan Remie lagi. Dia lalu turun ke pantai. Menjelang tengahari begitu tidak ramai orang berada di pantai. Mereka yang mandi-manda dari pagi lagi sudah pun beransur naik ke bilik masing-masing. Riana berjalan perlahan-lahan di bawah rimbunan pokok-pokok di tepi pantai. Sebenarnya dia ingin berjalan di gigi air dengan membasahkan kaki tetapi matahari sudah tegak di kepala, sangat panas.

Penat berjalan, Riana duduk sebentar di benteng yang dibina dari guni-guni berisi pasir. Sambil memandang lepas ke laut Riana membebaskan fikirannya dari segala permasalahan. Dua tiga buah kapal nampak begitu kecil sedang bergerak perlahan-lahan di tengah laut. Orang di pantai nampak kapal bergerak perlahan, tetapi sebenarnya ia tidaklah begitu perlahan. Siapakah di dunia ini yang rela ditinggalkan waktu ? Semua orang di zaman ini bergerak dengan pantas demi mengejar masa yang tidak pernah menunggu sesiapa. Kecuali Remie, yang suka bertangguh-tangguh seolah-olah masa itu miliknya seorang, seolah-olah masa boleh memegang angka usianya agar tidak bertambah.

Ah lagi-lagi Remie ! Riana ke sini kerana ingin lari daripada Remie. Lari daripada Remie ? Tidak ! Dia belum bersedia untuk lari daripada Remie. Kalau dia ingin lari dia tidak akan datang ke Port Dickson, sebaliknya dia akan mencari rumah sewa yang lain, membeli pek permulaan perkhidmatan telefon yang baru dan mula mencari lelaki yang baru. Tetapi Riana tidak ingin. Riana ingin Remie memahami dirinya dan kehendaknya, Riana ingin Remie menjadi suaminya yang sah, yang boleh memanjai dirinya dengan lesen perkahwinan yang sah. Mengapakah itu terlalu sukar buat Remie.

Buk ! Riana tersentak. Sebiji bola tergolek di kaki. Seorang budak India datang memungut bola sambil tersengih-sengih dan mengangkat tangan tanda maaf.

"Sorry kak !"

Riana cuma membalas dengan senyuman hambar. Dia kembali merenung ke laut lepas. Mengapa aku jadi begini ? Apakah yang aku cari di dalam kehidupan ini ? Kalau dulu sewaktu di universiti, diseksa dengan bermacam-macam tugasan dan peperiksaan yang tidak jemu menjelang, matlamat cuma satu, iaitu kekalkan pointer di tahap baik supaya tidak perlu mengulang subjek, sambil berharap masa cepat berlalu agar diri bebas dari segala seksaan.

Kemudian setelah tamat pengajian, setelah penat berposing di depan kamera dengan berjubah konvokesyen, jiwa diresahkan pula dengan peluang pekerjaan yang sering menjadi kebimbangan beribu-ribu graduan di negara ini. Susah mencari kerja, kata mereka. Riana pun tidak berkecuali. Dengan matlamat ingin mencari kerja yang baik dan membantu keluarga, berpucuk-pucuk suratlah dihantar ke mana-mana syarikat yang memerlukan pekerja. Jarang sekali pihak syarikat yang memberi maklumbalas, kalau ada pun hanya dipanggil temuduga sekali kemudian diam tanpa khabar berita. Fahamlah calonnya bahawa dia tidak terpilih untuk diambil bekerja. Dalam kegusaran itulah dia bertemu Remie yang menawarkan bantuan. Dapatlah dia bekerja di syarikat pengiklanan itu sehingga sekarang.

Lalu, setelah memperolehi pekerjaan dengan imbuhan yang boleh tahan, jadi apa lagi yang dikejarkan ? Memang lumrah manusia ingin membina sebuah keluarga bahagia jika dirasakan sudah mampu, tetapi bukanlah Riana terdesak sangat untuk berkahwin. Kalau hendak kata ingin memenuhi keperluan batin seperi yang setiap manusia perlukan, tidak tepat bagi Riana kerana dia memang boleh mendapatkan itu. Remie sudah ada cukup untuk memenuhi keperluan batin. Tetapi adakah itu halal ? Adakah itu dibenarkan ? Itu yang Riana kesalkan. Dia sudah tersimpang jauh dari landasan agama dan adat bangsanya.

Remie dan Riana tiada sebarang ikatan. Setiap kali Remie mendatanginya Riana rasa bahagia. Tetapi selepas itu ? Setiap kali diajak berbincang setiap kali itu Remie menolak Riana terasa dirinya bagaikan hanya alat permainan bagi Remie. Dia datang dan pergi sesuka hati. Dia memperlakukan Riana bagaikan isteri sendiri tetapi bila diingatkan tentang tanggungjawab dia akan melenting. Haruskah Riana terus bersama lelaki sebegitu ?

Sayang. Istilah sayang terlalu sukar untuk dikikis daripada sanubari setiap manusia. Selepas beberapa lama, Riana baru menemui sayang setelah dipertemukan dengan Remie. Lelaki itu telah berjaya mengembalikan cinta ke jiwanya yang hilang setelah dibawa lari seseorang sejak lama dulu. Secara zahir dan batin lelaki itu telah mengikat hatinya sehingga dia sukar melepaskan diri lagi. Dan sesungguhnya Riana tidak ingin. Dia tidak ingin lari lagi daripada cintanya yang satu ini. Telah banyak cinta dipersiakan, telah banyak jiwa dikorbankan, akhirnya dia sedar dia perlu setia kepada cinta. Tanpa cinta dia tidak akan ke mana-mana. Biarpun dinafikan berkali-kali jiwa wanitanya tetap mengharapkan belaian cinta seorang lelaki.

Tetapi cintakah Remie kepadanya ? Bukan tak pernah Remie mengucapkan cinta tetapi Riana masih sangsi. Cinta Remie bermusim. Di musim-musim dia kedinginan, segala rasa cintanya dicurahkan buat Riana seorang. Pada saat itu dialah hero yang berjiwa romantis, pujuk rayunya tidak mampu disingkir oleh sesiapa pun.

"Mak Una....Mak Una nak kahwin bila ?" Masih Riana ingat soalan itu terlontar dari mulut comel anak saudaranya, Daniel ketika dia menjenguk keluarga di kampung dua bulan lalu.

"Mak Una nak jadi anak dara tua." Sampuk pula Atirah kakak Si Daniel. Ditatap wajah anak yang berusia sepuluh tahun itu. Ternyata wajah itu begitu selamba tanpa memahami apa-apa yang diucapkannya sebentar tadi. Riana sekadar tersenyum tawar melihat Nadirah kakaknya menegur silap laku si anak. Langsung tidak terkesan di hati Riana. Agaknya anak yang keletah itu pernah mendengar seseorang mengucapkan perkataan itu di mana-mana, lalu dia pun teringin mengucapkannya juga.

Tidak ada sesiapa pernah menggelarnya anak dara tua kecuali anak saudaranya itu. Sememangnya dia belum layak untuk itu. Usianya baru dua puluh lima tahun. Masih muda. Masih banyak masa untuknya kalau diikut-ikutkan. Tetapi keadaan sebenar memang berbeza. Memang perlu dia berkahwin secepat mungkin memandangkan dirinya itu telah diwajibkan berkahwin kalau mengikut hukum. Riana memang ingin berkahwin tetapi masalahnya Remie yang tidak ingin !

Terlalu penat memikirkan Remie. Riana melangkah longlai balik ke bilik. Selepas mengerjakan solat Zohor dia berbaring sambil cuba melelapkan mata. Biarlah segala persoalan berlalu, otaknya sudah terlalu penat untuk itu.

Riana terjaga semula apabila tubuhnya terasa semakin sejuk. Rupanya hari sudah pun senja. Dia mengeluh kesal kerana terlepas solat Asar. Selepas menutup suis pendingin hawa Riana bergerak perlahan ke arah tingkap. Apabila tirai diselak, nampaklah langit terbentang dengan warna jingga melimpahi dadanya. Matahari sudah megundur diri, bulan pula mengambil tempat. Sungguh indah pemandangan ini. Pepasiran di pantai sudah tidak kelihatan lagi dilitupi air laut pasang sehingga hampir sampai ke benteng pasir yang dibina. Sekejap lagi air akan akan mencecah benteng pasir itu.

Riana segera mandi dan bersembahyang Maghrib serta mengqada solat Asar yang tertinggal. Sekejap lagi dia akan keluar mencari gerai makan. Makan di tepian pantai. Itu yang Riana paling suka jika ke pantai. Sementelah lagi dari pagi dia belum makan apa-apa. Perutnya jadi bergelora.

Setelah bersiap ala kadar Riana keluar dari bilik dengan membawa kunci kereta. Janggal juga keluar makan berseorangan, di tempat yang sepatutnya orang datang beramai-ramai pula. Tetapi Riana nekad sahaja, takkanlah pula hendak makan di café hotel itu, harganya berganda-ganda daripada harga makanan di gerai sedangkan hidangannya sama saja. Mungkin makanan di hotel lebih dari segi hiasan dan layanan pekerjanya.

Riana memandu kereta perlahan-lahan menghala ke Teluk Kemang. Kereta agak banyak tersusun di jalan sehingga pergerakan jadi perlahan. Esoknya hari Sabtu, patutlah bilangan pengunjung semakin bertambah. Sambil itu Riana melilau pandang ke kanan jalan, mencari-cari kedai makan yang terletak di tepi pantai. Di sana nampak ada sebuah kedai makan dengan lampu hiasan biru merah bersebelahan dengan deretan kedai-kedai menjual pakaian dan cenderamata. Bolehlah, orang belum ramai sangat.

Dia memberi isyarat ke kanan lalu membelok. Setelah mengunci kereta dia memilih satu meja yang agak terasing daripada yang lain. Cahaya di situ pun tidak berapa terang kerana lampu kalimantang terletak agak jauh dari meja itu. Bolehlah sekadar untuk makan seorang. Yang paling Riana suka ia dekat dengan pantai. Bayu laut terasa sangat dingin menghembus di wajah dan membuai hujung tudungnya. Ada pula muzik percuma. Tidak jauh dari situ Riana nampak seorang lelaki yang membelakanginya sedang leka memetik gitar, di hadapannya dua orang lagi sedang berbual-bual. Tentu saja salah seorang dari mereka tuan punya gerai menjual pakaian itu.

Seorang budak lelaki datang mengambil pesanan. Riana memerhati menu seketika. Ada kerang bakar ! Memang menjadi kegemaran Riana. Dia lantas memesan nasi goreng, semangkuk kerang bakar dan jus tembikai. Sambil menunggu pesanan Riana memerhati ke laut lepas, walaupun hanya hitam pekat yang kelihatan, bunyi desiran ombak memukul pantai cukup mendamaikan hatinya. Petikan gitar yang dimainkan orang di sana pun cukup memikat pendengaran Riana. Merdu sekali walau hanya memainkan lagu-lagu yang telah lama popular ciptaan orang lain. Rasa-rasanya Riana kenal lagu itu, tetapi apa judulnya Riana tidak dapat mengingat.

Menikmati hidangan malam bersendirian, Riana teringat suasana di kondonya. Memang biasa dia makan bersendirian sebab selalunya Remie akan tiba selepas waktu makan. Sekitar jam sepuluh lebih barulah dia muncul. Kadang-kadang jika Remie mahu makan bersama dia akan menelefon dahulu sama ada meminta Riana memasak untuk dua orang atau menyuruh Riana bersiap untuk dibawa makan di luar. Sebenarnya Remie boleh menjadi seorang yang amat romantik jika Riana tidak memulakan hal yang tidak digemarinya. Seperti di awal perkenalan, Riana sukar memahami Remie. Sekejap baik dan sekejap itu pula boleh mengeluarkan ayat-ayat yang pedih. Lelaki itu suka berterus-terang tentang apa yang tidak disukainya dan tidak pula suka memuja wanita dengan rayuan dan pujian. Dia hanya memujuk rayu kalau ada kepentingan bagi pihaknya.

Selepas makan Riana tidak berhajat pulang terus ke bilik. Dia mahu menghirup angin laut sepuas-puasnya, menikmati suasana malam dengan berjalan seorang diri. Memang terasa dingin tetapi dia akan bertahan selagi mata belum mengantuk. Sebelum menyusuri pantai di belakang hotel yang ditumpanginya Riana berjalan-jalan dulu di sekitar deretan kedai menjual pakaian dan cenderamata di situ.

Kedai yang di hujung sekali, yang di bahagian belakangnya ada pemuda bermain gitar menjual pakaian seperti T-shirt dan bermuda dari kain kapas yang memang sesuai untuk berjalan-jalan di pantai. Perhatian Riana lebih tertumpu kepada dress paras lutut dan bertali halus di bahu yang biasa dipakai orang untuk bersiar di pantai, tapi Riana gemar memakainya untuk dibawa tidur. Kainnya lembut dan sejuk pada kulit. Corak kainnya tidak lain mesti bermotif kerang dan siput laut, ada juga bermotif bunga-bunga besar. Cuma warnanya saja yang membezakan baju itu cantik atau tidak. Tetapi bagi Riana tidak kisah memilih warna apa pun, semuanya sesuai dengan warna kulitnya yang putih dan gebu.

Banyak-banyak baju tergantung ada satu yang menarik perhatian Riana. Dress berlatar warna putih tetapi motif siput laut kecil-kecil dilukis dengan warna hitam. Hitam-putih, gabungan yang menawan sekali.

"Tengok baju kak long. Yang mana satu kak long ?" Ramah si tauke kedai melariskan jualan. Mengapa pekedai sering menamakan orang sebagai kak long padahal aci kerat jari Riana yakin lelaki empunya kedai itu lebih tua daripadanya.

"Cuba tengok yang tu. Yang hitam putih tu." Riana menuding pada baju yang tergantung agak tinggi dari yang lain. Baju itu pun diturunkan lalu diserah ke tangan Riana untuk dibelek-belek,walhal Riana sudah cukup berkenan dengannya.

"Berapa ?" Tanya Riana.
"Satu."
"Huh bergurau pulak dia. Maksud saya berapa harganya ?"
Si tauke kedai ketawa mesra. Pikat pelangganlah kononnya, wanita pula tu.

"Enam belas ringgit je kak long, yang ni special untuk kak long tau orang lain tak dapat." Manis kata-kata si penjual.

"Kalau special kurang lagilah, sepuluh ringgit boleh ? Untuk saya saja orang lain tak dapat." Si pembeli pun pandai bermain kata.

"Ha ambik kau Mael. Nak sangat special." Sampuk kawannya yang berada di belakang.
Tauke yang bernama Mael itu tersengih sambil menggaru belakang tengkuk.

"Sepuluh ringgit banyak sangat kurangnya kak long. Kira lima belaslah, okey ? Atau pun kak long beli dua helai saya bagi empat belas setiap satu. "

"Aha kak long ! Kalau beli tiga dapat sepuluh ringgit, dengan dia-dia sekali percuma." Seorang lagi kawannya, yang berbaju hitam dan sedang memegang gitar pula menyampuk diiringi gelak ketawa kawan yang seorang lagi. Walaupun dia menjengah pembeli yang dipanggil kak long itu tidak kelihatan kerana terlindung di sebalik baju-baju lain yang bergantungan.

"Tak guna kau Boy. Wei diamlah !" Jerit Mael kepada kawannya.
Boy ? Betullah dia ! Daripada suara dia tadi pun Riana sudah kaget, seperti suara yang dikenalinya. Dia pandai bermain gitar, dia suka memakai baju berwarna hitam, dia dipanggil Boy oleh kawan-kawannya, dia…..

Riana menyelak baju-baju bergantungan yang menyekat pandangan. Sekali terpandang,

"Irfan !!!" Riana tidak sedar dia menyebut nama itu dengan begitu kuat.
Dia yang baru hendak memetik gitar menoleh ke arah Riana.

"Yana !"

kita tengok iklan dulu yer.... pasni sambung balik... :)

try , Khamis, Februari 02, 2006 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog