Rabu, 24 September 2008

Senarai produk susu tiada melamine

Kementerian akan kemas kini dari semasa ke semasa bantu pengguna

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan senarai produk disahkan tidak mengandungi melamine bagi memudahkan orang ramai mengetahui barangan yang bebas daripada campuran bahan kimia berbahaya itu.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman, berkata senarai itu akan dikemaskini dari semasa ke semasa menerusi laman web kementerian.

Katanya, orang ramai yang mahu mendapat maklumat mengenainya juga boleh menghubungi kementerian di talian 03-88833503 / 655 sama ada untuk membuat aduan atau mendapatkan keterangan lanjut berhubung perkara itu.

Sehingga ini, antara produk yang disahkan selamat termasuk produk syarikat Mead Johnson, Dumex, Nestle, Fonterra Brands, Kilang Makanan Mamee, Dutch Lady, Wyeth, Ace Canning Corporation, Maestro Swiss, dan GlaxoSmithKline.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan memperluaskan larangan mengimport konfeksi gula dan tepung dari China termasuk biskut serta gula-gula White Rabbit Creamy Candy yang dikesan mengandungi campuran bahan kimia melamine.

Selain itu, larangan berkenaan juga membabitkan konfeksi yang mengandungi susu, coklat, coklat susu dan coklat putih serta makanan lain yang mengandungi susu yang diimport dari China. - bh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan