Isnin, 4 Ogos 2008

Ular sebesar spageti

Saintis temui reptilia terkecil dunia di Kepulauan Barbados

WASHINGTON: Saintis menemui ular paling kecil dunia yang cuma sepanjang 10 sentimeter panjang dan sekecil spageti yang ditemui di bawah seketul batu di Kepulauan Barbados.

Spesies baru itu, dinamakan ‘Leptotyphlops carlae’, lebih kecil berbanding mana-mana daripada 3,100 spesis ular diketahui sebelum ini, menurut pakar biologi Universiti Pennsylvania State, Blair Hedges, yang juga membantu menemui katak dan cicak paling kecil di dunia.

BARU DITEMUI: Ular terkecil dunia sebesar mi spageti berlingkar pada syiling Amerika Syarikat. Reptilia 10 sentimeter panjang ini ditemui di Barbados. - Foto Reuters

Ia adalah antara kira-kira 300 spesies berbeza ular benang dan berwarna kelabu coklat kehitaman dengan dua jalur kuning, kata Hedges. Ia dipastikan sebagai spesies baru dikenal pasti disebabkan perbezaan genetik daripada ular lain dan corak warna serta sisik unik.

Ular berkenaan, yang tidak berbisa, memakan anai-anai dan larva anai-anai tetapi tidak banyak diketahui mengenai tabiatnya. Ia ditemui pada 2006 dalam hutan di timur Barbados.

Ia berada di bawah ketulan batu. Kami menemui dua daripadanya. Ia cuma sebesar spageti,” kata Hedges dalam temubual telefon.

Ia kira-kira lima milimeter lebih pendek berbanding spesies lain dari kepulauan Martinique di Carribbean.

Apabila ia sekecil itu, setiap milimeter dikira,” kata Hedges, yang penemuannya diterbitkan dalam jurnal saintifik Zootaxa, semalam.

Jenis haiwan paling besar dan paling kecil selalu ditemui hidup di kepulauan yang menyaksikan spesies dapat memenuhi ekologi dalam habitat tanpa persaingan daripada makhluk lain yang tidak tinggal di lokasi terpencil.

Ular terpanjang dunia ialah ‘reticulated python’, yang boleh membesar sehingga 10 meter panjang dan ditemui di Asia Tenggara.


Ular hidup sezaman dengan dinosaur. Fosil tertua ular yang diketahui bertarikh kira-kira 100 juta tahun lalu.

Ular pertama - yang dikatakan mengalami perubahan dari cicak - sebenarnya mempunyai anggota badan amat kecil. - Reuters

bh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan