Rabu, 6 Ogos 2008

NASA temui bukti air wujud di Marikh

Misi masa depan mencari kehadiran makhluk yang mungkin pernah mendiami planet ini

LOS ANGELES: Saintis Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) semalam mendakwa mereka mempunyai bukti kukuh kewujudan air di Marikh, termasuk menyentuh dan merasainya selepas melakukan ujian susulan ke atas penemuan ais di planet berkenaan, Jun lalu.

CIPTA SEJARAH: Kapal angkasa Phoenix Mars Lander mendarat di permukaan Marikh beberapa minggu lalu. - Foto AP

Penemuan itu dianggap bersejarah kerana ahli astronomi sejak 100 tahun lalu sudah pun mendakwa kemungkinan wujudnya air di Marikh yang turut dikenali Planet Merah.

"Ya, kami menemui bukti kewujudan air," kata ketua saintis bagi program analisis peralatan therma gas bagi kapal angkasa Phoenix Mars Lander, William Boynton.

"Kami sudah melihat bukti bagi air yang diperoleh daripada ketulan ais dalam pemerhatian oleh kapal angkasa Mars Odyssey dan yang dipantau Phoenix bulan lalu.

Namun ini kali pertama air Marikh itu dapat disentuh dan dirasai," katanya merujuk kepada peralatan digunakan kapal angkasa peninjau ekspedisi berkenaan.

NASA juga bertindak melanjutkan misi Phoenix selama lima minggu lagi dan menegaskan usahanya melangkaui aspek pencarian air.

"Kami sebaliknya kini bertumpu kepada kemungkinan Planet Merah itu mampu mengekalkan hidupan. Atas alasan itu jugalah, kami melanjutkan ekspedisi itu hingga 30 September ini," kata Michael Meyer, ketua saintis program penerokaan Marikh NASA, pada satu sidang media, semalam.

Katanya, tindakan melanjutkan tempoh pemantauan itu membabitkan tambahan peruntukan AS$2 juta (RM6.4 juta) kepada kos keseluruhan pendaratan Phoenix sebanyak AS$420 juta (RM1.3 bilion).

Kapal peninjau Phoenix itu adalah cubaan terbaru NASA bagi mengesahkan sama ada air yang juga elemen asas hidupan, pernah mengalir di Marikh. Ia juga sama ada cuma melihat hidupan dalam bentuk mikrob kecil pernah wujud di situ.

Phoenix mendarat di satu kawasan yang dikatakan pelantar ais dan sampelnya dilihat mencair seperti yang dirakamkan peralatan khas kapal itu, Jun lalu.

Saintis misi itu menyifatkan langkah melanjutkan pemerhatian mereka boleh memberi lebih banyak masa menganalisis sampel Marikh. Mereka juga berhasrat mengorek dua lagi parit tambahan menggunakan robot khas yang turut dibawa Phoenix.

"Kami harap dapat menjawab pertanyaan sama ada kawasan itu adalah zon habitat di Marikh. Ia juga bagi kegunaan misi masa depan untuk mencari makhluk yang pernah mendiami planet ini," kata saintis Pheonix, Peter Smith. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan