LONDON: Wanita hamil dinasihatkan supaya menjauhi makanan ringan kerana ia boleh menyebabkan anak dalam kandungan menghadapi masalah kesihatan sepanjang hidup.Ibu yang ketagihan makanan ringan meletakkan bayi mereka dalam risiko obesiti, menghidap penyakit jantung dan diabetes, kata penyelidik.
Seorang penyelidik, Dr Stephanie Bayol, berkata: "Kita selalu berkata, 'Anda ialah apa yang anda makan.' Malah, ia mungkin benar jika dikatakan, 'Anda ialah apa yang ibu anda makan'."
Dr Bayol melihat kesan pemakanan ketika hamil itu pada hampir 150 ekor bayi tikus. Separuh daripada ibu haiwan itu diberi makanan tikus biasa, manakala yang lain turut diberikan makanan ringan termasuk donat jem, mufin cip coklat, gula-gula dan coklat.
Ujian menunjukkan bayi yang dilahirkan ibu tikus yang mengambil makanan ringan mengalami beberapa masalah kesihatan yang berpanjangan sehingga dewasa.
Ia diuji mempunyai paras tinggi kolesterol dan lemak lain yang dikaitkan dengan sakit jantung. Paras gula dalam darah dan insulin juga meningkat, menambahkan risiko mereka mendapat diabetes.
Malah anak tikus yang diberi makanan sihat selepas kelahiran - yang bermakna ia tidak pernah memakan makanan ringan, juga cenderung mencatatkan masalah berat badan berlebihan.
Tikus betina terutama mendapat kesan teruk, yang menunjukkan perbezaan utama dalam metabolisme antara jantina, menurut kajian yang disiarkan dalam Journal of Physiology. - Agensi
bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan