PUTRAJAYA: Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membenarkan Celcom (Malaysia) Bhd (Celcom) menganjurkan semula Peraduan 100 Hari 100 Kereta dengan format yang mematuhi kehendak syariah.Pengerusinya, Datuk Hassan Ahmad, berkata keputusan itu disampaikan kepada wakil Celcom pada mesyuarat panel itu di Bangi, semalam.
Hassan yang juga Mufti Pulau Pinang berkata, satu garis panduan lengkap peraduan membabitkan khdimat pesanan ringkas (SMS) yang perlu dipatuhi semua syarikat telekomunikasi akan diumumkan selepas mesyuarat panel itu bulan depan.
"Celcom dimaklumkan mengenai keputusan itu termasuk garis panduan yang perlu dipatuhi untuk memastikan peraduan kali ini tidak melanggar syariah Islam," katanya di sini, semalam.
Syarikat itu diarah memberhentikan serta-merta peraduan SMS yang menawarkan sebuah Toyota Camry sehari sejak 2 Jun lalu selepas mesyuarat panel pada 17 Jun mendapati ia mengandungi unsur judi, gharar (unsur yang tidak jelas) dan menggalak pembaziran.
Berikutan itu, satu pertemuan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz dengan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly diadakan di jabatan itu 18 Julai lalu, bagi membincangkan format baru peraduan.
Mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2004 memutuskan peraduan berbayar menerusi SMS haram kerana berunsur perjudian.
Sementara itu, Berita Harian difahamkan Celcom mendapat kebenaran menganjur semula peraduan itu selepas perubahan ketara format, iaitu menjual SMS dan khidmat pesanan multimedia (MMS) untuk kegunaan akan datang, bukannya mengenakan caj RM5 bagi setiap soalan yang dijawab peserta seperti sebelum ini.
Sumber rapat dengan siri mesyuarat Panel Kajian Syariah dan Celcom itu berkata, format baru peraduan dipersetujui panel berkenaan selepas beberapa perubahan dibuat berdasarkan maklum balas panel berkenaan.
Bagaimanapun, Celcom mungkin akan mengemukakan cadangan format lain yang lebih mudah dikendalikan dan tidak memerlukan peserta menjawab soalan seperti peraduan anjuran Petronas sebelum ini. - bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan