Jumaat, 18 Julai 2008

Pencemaran kimia jejas jantina bayi

Wanita terdedah bahan toksik sukar dapat anak lelaki

NEW YORK: Satu kajian mendakwa wanita yang terdedah kepada bahan kimia atau bahan pencemar tertentu lebih berkemungkinan besar melahirkan bayi perempuan.

Malah, kajian berdasarkan penyelidikan terbaru ke atas wanita hamil di San Francisco, juga didakwa tidak hanya bersifat terpencil di Amerika Syarikat, sebaliknya turut berlaku di satu wilayah Britain.

ScienceDaily melaporkan semalam, kajian ke atas wanita di San Francisco itu menunjukkan mereka yang terdedah kepada bahan pencemar polychlorinated biphenyls (PCB) pada 1950-an dan 1960-an yang turut dikaitkan sebagai punca barah, terbukti melahirkan bayi perempuan.

PCB merujuk bahan pencemar organik yang merangkumi darah manusia dan susu ibu yang dicemari. Ia banyak digunakan dalam industri kerana sifatnya sebagai bahan penyerap panas dan bagi peralatan elektrik dan pembinaan.


Ia diharamkan pada 1970-an berikutan kandungan toksiknya yang tinggi dan sukar dibersihkan serta didakwa memberi kesan kepada sistem imun atau daya tahan badan, sistem reproduktif, saraf dan perkumuhan.


Berdasarkan data perolehan yang dianggap berkualiti, hasil kajian terbaru itu memberi bukti paling kukuh mengaitkan PCB sebagai penentu jantina bayi yang dilahirkan.

"Wanita yang paling banyak terdedah kepada toksik PCB didapati 33 peratus lebih kurang atau sukar melahirkan bayi lelaki berbanding wanita yang kurang terdedah kepada bahan itu," kata ketua penyelidik, Irva Hertz-Picciotto.

Menerusi kajian itu, penyelidik mengukur paras PCB dalam darah wanita hamil di sekitar kawasan San Francisco pada 1960-an.

Apabila dibandingkan paras itu dengan jantina bayi, mereka dapati bagi setiap satu mikrogram PCB dalam satu liter serum, peluang untuk hamil bayi lelaki jatuh sebanyak tujuh peratus.

Kajian itu menyusuli hasil penyelidikan lain yang menasihati wanita hamil menjauhi makanan ringan kerana boleh menyebabkan anak dalam kandungan menghadapi masalah kesihatan sepanjang hidup.


Ibu yang ketagihan makanan ringan juga meletakkan bayi mereka dalam risiko obesiti atau terlalu gemuk, menghidap penyakit jantung dan diabetes, kata penyelidik Amerika, Dr Stephanie Bayol.

Beliau melihat kesan pemakanan ketika hamil itu pada hampir 150 ekor bayi tikus makmal. Separuh daripada ibu haiwan itu diberi makanan tikus biasa, manakala yang lain turut di berikan makanan ringan termasuk donat jem, mufin cip coklat, gula-gula dan coklat.

Ujian menunjukkan bayi yang di lahirkan ibu tikus yang mengambil makanan ringan mengalami beberapa masalah kesihatan yang berpanjangan sehingga dewasa. - Agensi

bh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan