WASHINGTON: Individu bukan perokok yang berkahwin dengan perokok didakwa berisiko besar mengalami strok, menurut kajian di Amerika Syarikat yang diterbitkan semalam terhadap bahaya perokok pasif.Berkahwin dengan perokok meningkatkan risiko strok kepada 42 peratus kepada mereka yang tidak pernah merokok berbanding mereka yang berkahwin dengan seseorang yang tidak pernah merokok, kata penyelidik.
Risikonya meningkat 72 peratus kepada bekas perokok berkahwin dengan perokok, menurut kajian diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Pencegahan Amerika. Bekas perokok berkahwin dengan perokok mengalami strok sama dengan mereka yang merokok.
“Berhenti merokok membantu kesihatan anda dan juga kesihatan orang yang tinggal bersama anda,” kata Maria Glymour dari Sekolah Kesihatan Umum Harvard di Boston dan Universiti Columbia di New York, yang mengetuai kajian itu menerusi temu ramah telefon.
Kajian itu membabitkan 16,225 orang berusia 50 tahun dan ke atas yang tidak pernah mengalami strok. Mereka dikaji secara purata sembilan tahun.
Glymour berkata, ada bukti terkumpul mengenai jumlah masalah kesihatan berkaitan perokok pasif.
Penyelidikan sebelum ini mencadangkan bahawa perokok pasif meningkatkan risiko strok, namun Glymour berkata, risiko strok sudah dikaji lebih mendalam terhadap perokok berbanding mereka yang terdedah kepada perokok pasif. - Reuters
bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan