Khamis, 10 Julai 2008

Gambir Sarawak dicampur katak

Rahsia penjual tingkat keberkesanan herba

KUCHING: Gambir Sarawak yang terkenal kerana khasiatnya mengurangkan kesakitan dan masalah kebas otot mungkin dicampur dengan sisa daging katak puru dari China.

Ahli Botani dan Ekologi tempatan, Dr Paul Chai PK yang mendedahkan perkara itu, berkata campuran haiwan pada produk herba itu dipercayai mampu 'menggagahkan' lelaki ketika di ranjang.

Beliau yang juga perunding Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) sejak 1993 berkata, 'rahsia' itu diketahui kebanyakan penjual herba tradisional berkenaan walaupun tidak semua gambir yang dijual dicampur bahan asing.

"Tindakan mencampurkan gambir Sarawak dengan daging katak puru mungkin bertujuan meningkatkan kesan herba itu kepada si pemakai, selain melariskan produk," katanya ketika dihubungi.
Gambir Sarawak dikatakan mempunyai pelbagai khasiat termasuk mengurangkan kesakitan dan masalah kebas otot mampu mengawal ejakulasi ketika hubungan kelamin, walaupun tiada ujian klinikal mengesahkan.
Berikutan itu, Dr Paul mengingatkan penggemar herba itu supaya berhati-hati ketika membeli gambir Sarawak bagi mengelak kesan sampingan.

INFO: Gambir Sarawak
  • Nama saintifik: Uncaria gambier
  • Nama umum: Gambir
  • Nama tempatan: Gambier (Melayu), Akar Kelawit (Melanau, Iban)
  • Asal: Asia
  • Tumbuhan berakar dengan bunga kuning dan buah keunguan. Ranting mudanya licin, manakala daun membesar sehingga selebar 6.5 sentimeter dan 13 sentimeter panjang.
  • Bahagian digunakan: daun, batang dan getah
  • Kandungan: tannin dan catechin.

- bh (Oleh Norma Mullie)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan