Apakah faktor yang mendorong kajian ini
Kajian ini sebenarnya susulan kepada penyelidikan terhadap 42 banduan di beberapa penjara pada 1997 dan kami memutuskan untuk memperluaskannya kepada lebih ramai responden pada 2003. Kajian terbaru itu dilakukan berikutan banyak perbincangan ditumpukan kepada mangsa dan tiada kajian langsung terhadap perogol.
Kemungkinan pandangan, perasaan atau perspektif dan tingkah laku perogol dapat membantu kita memahami isu ini dan berharap kajian ini dapat mengurangkan kes berkenaan.
Majoriti responden berusia antara 45 hingga 55 tahun, manakala mangsa remaja bawah 16 tahun. Kajian mendapati kebanyakan perogol dari kawasan luar bandar dan taraf pendidikan rendah, malah sudah berkahwin.
Apakah responden sukarela atau dipaksa untuk ditemubual
Saya tidak tahu bagaimana pihak pengurusan penjara mengendalikannya tetapi kebenaran hanya diberikan kepada banduan boleh berbahasa Melayu dan Inggeris. Oleh sebab itu kebanyakan responden kami adalah Melayu.
Perbincangan dilakukan secara bersemuka dan ada kalanya ditemani warden. Kami lebih suka ketiadaan warden kerana jawapan atau maklum balas responden lebih `asli', kerana kemungkinan responden bimbang pandangan warden terhadap jawapan yang diberikan.
Apakah hasil kajian yang dirasakan di luar dugaan
Dakwaan responden kejadian rogol tidak membabitkan paksaan, sebaliknya atas dasar suka sama suka... kami tidak pernah menjangka kerana kes itu membabitkan bapa saudara sudah berumur dan mangsanya adalah anak saudara yang baru berusia 10 tahun, takkanlah kes itu berlaku kerana suka sama suka. Ada juga kes membabitkan datuk dan jiran.
Kami berhasrat melakukan kajian lain membabitkan keluarga sama ada mangsa mahupun perogol pada masa depan bagi mengetahui implikasi terhadap keluarga kedua belah pihak ekoran kejadian itu.
Sebagai penyelidik, apakah pandangan terhadap hukuman sedia ada
Kami melihat pindaan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang menurunkan umur mangsa daripada 16 tahun kepada 12 tahun untuk mensabitkan kesalahan merogol sebagai membimbangkan. Pindaan itu bermakna jika kejadian rogol membabitkan 13 tahun dan ke atas dengan dakwaan berlaku atas kerelaan.
Itu tidak dikira rogol... alasannya mereka berumur 13 tahun dan ke atas berkemampuan untuk mengatakan tidak. Merujuk kepada hasil kajian peguam, kes rogol meningkat tetapi pengakuan tidak banyak, ini bermakna jika kejadian rogol dilaporkan peluang untuk seseorang itu didapati bersalah adalah kurang.
Daripada penyelidikan dan pemerhatian, adakah Malaysia boleh dikategorikan negara selamat untuk wanita dan kanak-kanak daripada jenayah seksual
Kejadian rogol banyak berlaku dalam keluarga, persoalannya bagaimana kita boleh mengenal pasti seorang perogol dan tindakan di luar dugaan mereka. Selain keruntuhan institusi kekeluargaan yang menyumbang kepada kejadian itu, media turut berperanan menjadi pencetus kepada jenayah rogol dengan menggambarkan wanita sebagai objek, malah lebih memburukkan lagi apabila wanita bersedia digambarkan sebagai objek. - bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan