
Kamera T5000 itu yang dicipta oleh ThruVision, menggunakan 'teknologi imaging pasif' untuk mengesan objek oleh sinaran elektromagnetik semula jadi yang dikenali sebagai Terahertz atau 'T-rays'.
Kamera berkuasa tinggi berkenaan boleh mengesan objek tersembunyi dari 80 kaki jauh dan berkesan walaupun manusia sedang bergerak.
"Bagaimanapun, ia tidak mendedahkan gambaran fizikal tubuh manusia dan pengesanan ini adalah tidak merbahaya," kata syarikat berkenaan.
Teknologi yang mempunyai aplikasi tentera dan awam itu boleh digunakan di lapangan terbang yang sibuk, pusat beli-belah atau acara sukan dan akan diperkenalkan pada pameran pembangunan saintifik tajaan Kementerian Dalam Negeri Britain Rabu dan Khamis ini.
"Kejadian keganasan sudah menggegarkan dunia dalam tempoh beberapa tahun ini dan langkah keselamatan diperketatkan di seluruh dunia. Kemampuan untuk melihat bahan metalik dan bukan metalik pada manusia dari jarak 25 meter adalah keupayaan yang akan memperhebatkan lagi sistem keselamatan komprehensif," kata Ketua Eksekutif ThruVision, Clive Beattie.
Tatkala teknologi ini dapat meningkatkan pengesanan, ia juga akan meningkatkan kebimbangan bahawa Britain semakin menjadi masyarakat yang dipantau, dengan ratusan kamera litar tertutup yang sudah pun kini memantau pergerakan manusia di seluruh negara setiap hari.
ThruVision memperkenalkan teknologi T5000 ini dengan kerjasama Agensi Angkasa Lepas Eropah dan daripada mengkaji penyelidikan angkasawan ke atas bintang yang mati.
Teknologi berkenaan berfungsi dengan syarat semua manusia dan objek mengeluarkan tahap radiasi elektromagnetik rendah.
Sinaran Terahertz berada di antara sinaran infrared dan mikrowave pada spektrum elektromagnetik dan boleh menembusi dinding dan awan.
Bergantung pada bahannya, pengesanannya sinaran ini boleh membezakan di antara alat letupan dan tanah lumpur dan antara dadah kokain dan tepung. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan