Selasa, 4 Mac 2008

Guna iPod dengan mata

TOKYO 3 Mac - Jangan dipedulikan sangat jika seseorang mengenyitkan matanya ke arah anda, kerana kemajuan sains memboleh pengguna iPod menggunakan peranti itu dengan hanya menggerakkan pelipis mata.

Seorang penyelidik mendakwa beliau telah berjaya memajukan sistem komputer bercip tunggal dan beberapa pengimbas infra merah yang memantau pergerakan pelipis dan saiznya amat kecil sehingga ia boleh dipasang pada cermin mata.

Dengan menutup kedua-dua mata selama satu saat, ia akan menghidupkan iPod tersebut manakala mengedipkan mata akan menghentikan alat peranti itu.

Selain itu, kenyitan mata kanan membolehkan peranti melangkaui ke lagu seterusnya dan kenyitan mata kiri akan memainkan semua lagu tersebut.

Seseorang tidak perlu bergerak atau menggunakan tangan kerana sistem ini berfungsi sebagai "tangan ketiga" untuk, pendaki, penunggang motosikal dan angkasawan.

Anda tidak perlu bimbang dengan sistem ini apabila melakukan kesilapan pergerakan kerana sistem ini mampu menerima isyarat jika anda menutup mata dengan rapat.

"Anda boleh menggunakan sistem ini semasa sedang makan dan berbual," kata pencipta sistem berkenaan, Kazuhiro Taniaguchi.

Taniaguchi yang merupakan penyelidik di Sekolah Graduan Kejuruteraan Sains Universiti Osaka berkata, sistem yang dinamakan Suis Kome Kami atau Suis Pelipis boleh membezakan dengan mudah kenyitan mata semula jadi atau terpaksa.

Beliau berharap sistem ini dapat digunakan dalam telefon sel, kerusi roda dan robot sebagai "alat kawalan jauh" dalam kehidupan seharian.

Pasukan penyelidik peranti ini berharap dapat melancarkan suis ini secara komersial dalam tempoh tiga tahun lagi.

Selain itu, Taniaguchi berkata, beliau turut menjalankan kajian mengoperasikan sistem ini dengan mengetapkan bibir. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan