Selasa, 11 Mac 2008

Genetik tentukan rasa gembira

WASHINGTON D.C - Tahap kegembiraan individu dalam menjalani kehidupan sebenarnya dipengaruhi oleh baka keturunan mereka, menurut kajian Universiti Edinburgh terhadap pasangan kembar seiras dan tidak seiras.

Kajian ke atas 900 pasangan kembar mendapati, pengaruh gen mempengaruhi setengah daripada personaliti yang mampu menyebabkan manusia berasa gembira. Selebihnya dikaitkan dengan cara hidup, jenis karier dan persahabatan.

Kajian yang dijalankan bersama Institut Kajian Perubatan Queensland di Australia itu menunjukkan pasangan kembar seiras menjelaskan personaliti serupa manakala keputusan sebaliknya bagi pasangan kembar tidak seiras.

"Saintis merujuk kepada individu yang menunjukkan sikap tidak risau, suka bersosial dan teliti dalam membuat keputusan," kata Dr. Alexander Weiss daripada Fakulti Sains Falsafah, Psikologi dan Bahasa Edinburgh.

Menurut beliau, kegembiraan adalah aspek paling penting untuk perkembangan sikap manusia namun ia bergantung pada banyak faktor lain.

"Tetapi kini, saintis akhirnya berjaya menemui komponen kegembiraan. Genetik kini menjadi jawapan kepada pembentukan personaliti seseorang dan ia boleh diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya," jelas Weiss. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan