Selasa, 18 Mac 2008

Bapa Sharlinie setuju strategi baru polis

KUALA LUMPUR 17 Mac – Kaedah baru pencarian secara senyap yang digunakan pihak polis dalam mencari Sharlinie Mohd. Nashar disokong oleh bapa kanak- kanak yang hilang sejak 9 Januari lalu itu.

Mohd. Nashar Mat Hussain berkata, beliau berpendapat tindakan pihak polis tidak menghebahkan lagi strategi mereka adalah langkah yang tepat.

Jika pihak polis menghebahkan segala strategi dan maklumat yang digunakan, penculik Sharlinie pasti akan berwaspada.

Bagaimanapun strategi terdahulu juga antara usaha terbaik yang dilaksanakan oleh pihak polis dalam misi mencari Sharlinie,” katanya di sini hari ini.

Sharlinie dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, Sharliena, 8, dari padang permainan kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan pada pagi 9 Januari lalu.

Menurut. Mohd. Nashar, misi pencarian itu mungkin membuahkan hasil kerana pihak polis pasti mempunyai maklumat sebelum bertindak.

Tambahnya, polis lebih arif dalam misi mencari anaknya itu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed memaklumkan, polis akan menukar strategi mencari Sharlinie kepada strategi secara senyap.

Menurutnya, polis kini tidak akan menghebahkan apa-apa strategi yang dibuat bagi menjejaki penculik kanak-kanak malang itu.

Sementara itu, Mohd. Nashar berharap orang ramai memahami tindakan polis itu kerana misi tersebut lebih berkesan bagi menjejaki anak bongsu kesayangannya itu.

Kita serahkan kepada pihak polis apa pun strategi yang akan digunakan dan saya sekeluarga akan turut membantu jika diperlukan.

Saya berharap agar orang ramai mendoakan keselamatan anak saya dan semoga dia selamat pulang ke pangkuan kami,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan