Guru Besar Sekolah Kebangsaan La Salle (2), Sopian Mokhtar berkata, Muhamad Asmawi bagaimanapun tidak pernah terlibat dalam sebarang pergaduhan atau dibuli oleh rakan-rakan.
“Mungkin dia sendiri tiada keinginan untuk belajar dan saya difahamkan oleh guru kelasnya bahawa dia seolah-olah bersikap eskapisme (lari daripada realiti),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat sekolahnya di Brickfields di sini hari ini.
Menurut Sopian, beberapa pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah mendapatkan maklumat daripada pihak sekolah pagi ini.
Sementara itu, rakan sekelas, Ayyub Omar berharap Muhamad Asmawi akan ditemui semula secepat mungkin dan datang ke sekolah untuk bersama-sama rakan lain.
“Saya sedih Awie hilang... pulanglah Awie, kami semua rindu akan Awie,” katanya yang ditemui di kelas Tahun 5 Bestari sekolah tersebut.
Seorang lagi rakan, Muhd. Affiz Muhd. Noor pula bingung apa yang terjadi.
Katanya, ini kerana dia bersama Muhamad Asmawi dan seorang lagi rakan menyertai pertandingan mewarna anjuran restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken pada hari kejadian.
“Kami berpisah ketika perjalanan pulang dan tidak tahu apa yang terjadi selepas itu,” katanya.
Pada 9 Mac lalu, Muhamad Asmawi dilaporkan hilang ketika pulang dari sebuah taman permainan berdekatan rumahnya di Lot 127, Jalan Permai Tujuh di Lembah Pantai.
Muhamad Asmawi dikatakan dalam perjalanan pulang bersama rakannya dari taman itu berdekatan Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi.
Oleh TAN MING WAI (Utusan)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan