Unta didakwa sebagai penyebar utama virus korona pembawa maut tersebut di Arab Saudi.
1 Jun 2014 - SEKUMPULAN saintis antarabangsa mendakwa mereka telah mengenal pasti sebatian yang dapat mencegah penularan virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers).
Pengumuman mengenai penemuan K22 yang mampu menghalang penyebaran virus korona itu dibuat kumpulan penyelidik diketuai Edward Trybala dari Universiti Gothenburg dan Volker Thiel dari Universiti Bern.
Menerusi artikel dalam jurnal khas, PLOS Pathogens, kumpulan saintis terbabit menjelaskan bahawa virus korona tersebut membiak dalam sistem pernafasan manusia.
Bagaimanapun, hasil kajian mereka mendapati K22 mampu bertindak balas pada peringkat awal dalam proses itu bagi mencegah virus tersebut daripada menguasai membran sel.
"Kajian menunjukkan penggunaan membran sel perumah adalah satu langkah yang penting dalam kitaran hayat virus Mers," menurut laporan mereka.
Difahamkan, kumpulan saintis tersebut kini memerlukan bantuan dana untuk melakukan kajian susulan bagi menguji keberkesanan K22.
Menurut AFP, Khamis lalu, Iran melaporkan kes kematian pertama akibat Mers selain enam kes jangkitan baru virus itu di negara tersebut.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan