Sabtu, 1 Mac 2014

USM cipta kapsul herba antiobesiti daripada kacip fatimah

GEORGE TOWN, 28 Feb. 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta kapsul herba antiobesiti yang pertama seumpamanya, dihasilkan daripada kacip fatimah.
 
Naib canselor USM, Prof. Datuk Dr Omar Osman berkata, kacip fatimah adalah ubat herba tempatan yang digunakan dengan meluas bagi kesihatan wanita, namun julung kali dihasilkan untuk menangani obesiti.
Obesiti dan berat badan berlebihan adalah masalah yang dihadapi bukan sahaja oleh orang dewasa tetapi juga kanak-kanak di Malaysia selain menjadi masalah kesihatan global yang menjejaskan penduduk daripada pelbagai lingkungan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Produk itu dibangunkan sepasukan penyelidik daripada Fakulti Sains Farmasi USM diketuai Prof. Dr. Zhari Ismail.
 
Zhari berkata, prototaip dengan nama Labeesity, perumusan ekstrak terpiawai nano daripada kacip fatimah pada dos 250 miligram/kilogram menunjukkan pengurangan ketara dalam peratusan berat badan, indeks jisim tubuh (BMI) dan lemak viscera ke atas tikus dirawat berbanding kawalan diet tinggi lemak (HFD).
 
"Penyelidikan ke atas Labeesity mengambil masa dua tahun yang siap pada Jun tahun lepas. Produk itu telah selesai ujian makmal dan ketika ini pada kajian praklinikal dan klinikal.
 
"Sebuah syarikat tempatan menandatangani memorandum persefahaman untuk memasarkan produk ini dan kami jangkakan antara satu hingga dua bulan untuk pengkomersialannya," katanya.
 
Zhari berkata, proses pengkomersialan bergantung kepada tindakan syarikat itu dalam mendapatkan geran bagi ujian klinikal sebelum memasarkannya kepada pelanggan.
 
Beliau berkata, jumlah pengambilan makanan turut disarankan dengan Labeesity membantu menahan selera makan, mengawal pengumpulan lemak dan melindungi kesan terhadap penyakit lemak hati. - Bernama
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan