TOKYO, 28 Feb. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan satu draf laporan tentang kesan pemanasan global terhadap alam sekitar yang menyebabkan pengeluaran tanaman berkurangan sehingga dua peratus setiap dekad. Keadaan itu ditaksir akan mengakibatkan kerugian sedunia hampir AS$1.45 trillion (RM4.76 trillion) pada akhir abad ini.
Media Jepun mendedahkan butiran dokumen itu sebulan lebih awal daripada tarikh pembentangannya yang akan dibuat oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), iaitu sekumpulan saintis pemenang anugerah Nobel.
Menurut laporan tersebut, jika suhu global meningkat sebanyak 2.5 darjah Celsius, pengeluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia akan jatuh sebanyak 0.2 hingga dua peratus yang menyamai AS$147 bilion hingga AS$1.45 trilion, dikira mengikut KDNK dunia tahun 2012.
Laporan itu juga menjelaskan, walaupun permintaan terhadap makanan terus meningkat sehingga 14 peratus, pengeluaran tanaman dunia akan menurun sehingga dua peratus setiap dekad berikutan peralihan rentak musim hujan dan diganti dengan kemarau yang mengeringkan tanah ladang.
Kesan-kesan lain pemanasan global ialah kehilangan peratusan daratan kerana paras laut semakin meningkat yang menyebabkan berjuta-juta orang berhijrah dari kawasan pantai ke tempat lain. Kawasan yang paling terdedah termasuklah Asia Timur, Asia Selatan, dan Asia Tenggara.
Laporan itu menggesa supaya langkah-langkah kawalan untuk mengurangkan masalah alam sekitar akibat perubahan iklim seperti melakukan projek-projek pencegahan banjir dan penyelidikan mengenai penyakit berjangkit.
Dalam bahagian pertama laporan kajian itu, IPCC berkata bahawa manusia menjadi punca pemanasan global dan meramalkan suhu akan meningkat lagi 0.3 hingga 4.8 darjah Celcius pada abad ini.
Gelombang panas, banjir, kemarau dan kenaikan paras laut adalah antara ancaman akibat pemanasan, jelas IPCC dalam laporan yang dikeluarkan pada bulan September di Stockholm. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan