LOS ANGELES, 5 Sept. 2013 - Sofia Vergara telah dinamakan sebagai pelakon televisyen wanita Amerika Syarikat (AS) yang menerima bayaran tertinggi bagi tahun ini, masuk tahun kedua berturut-turut.
Bintang siri Modern Family itu dilaporkan menjana pendapatan sebanyak AS$30 juta (RM98.54 juta) antara Jun 2012 dan Jun 2013, bagi peranannya dalam sitkom tersebut dan pelbagai tajaan, dua kali ganda melebihi pendapatan Mariska Hargitay pelakon Law & Order: Special Victims Unit, yang berada di tempat kedua.
Antara tajaan yang diterima oleh Vergara ialah daripada Diet Pepsi, Kmart, syarikat perabot Rooms to Go, Covergirl, Comcast dan State Farm Insurance.
Menurut Forbes, Mariska Hargitay yang memperolehi pendapatan sebanyak AS$11 juta (RM36.13 juta) sepanjang tahun lalu turut berkongsi kedudukan dengan pelakon siri The Big Bang Theory, Kaley Cuoco.
Bintang program realiti, adik beradik Kardashian iaitu Kim, Kourtney dan Khloe menduduki tempat ketiga dengan pendapatan berjumlah AS$10 juta (RM32.85 juta) setiap seorang.
Mereka turut berkongsi kedudukan itu dengan empat pelakon lain iaitu Ellen Pompeo (Grey's Anatomy), Melissa McCarthy (The Heat), Tina Fey (30 Rock) dan bekas bintang realiti televisyen, Bethenny Frankel. - Agensi

Tiada ulasan:
Catat Ulasan