Khamis, 12 September 2013

Sepertiga makanan dibazirkan, libatkan kos RM2.45 trilion

ROME, 11 Sept. 2013 - Agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa sepertiga daripada pengeluaran makanan di seluruh dunia dibazirkan dan fenomena itu menelan kos sebanyak AS$750 bilion (RM2.45 trilion) dalam ekonomi global setiap tahun.

Pertubuhan Makanan dan Agrikultur (FAO) yang berpangkalan di Rome memberitahu, kira-kira 1.3 bilion tan makanan dibazirkan saban tahun dan malangnya rantau Asia termasuk China merupakan negara penyumbang yang paling teruk.

 

Menurut Ketua Pengarah agensi tersebut, Jose Graziano da Silva, secara keseluruhannya sepertiga daripada pengeluaran makanan hari ini dibazirkan dan jumlah itu bersamaan dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Switzerland.

 

Dalam pada itu, Ketua Program Alam Sekitar PBB, Achim Steiner menyifatkannya sebagai satu fenomena yang mengejutkan.

 

"Fenomena ini merupakan satu perkara serius kita juga belum menyedari impak tidak langsung akibat pembaziran makanan dan kos yang bakal ditanggung oleh generasi akan datang.

 

"Dalam masa kurang daripada 37 tahun, populasi dunia akan bertambah sebanyak dua bilion orang. Bagaimana kita dapat menampung makanan pada masa hadapan?," ujarnya.

 

Steiner mengatakan usaha mengurangkan pembaziran makanan mempunyai potensi besar untuk mengatasi masalah kebuluran dan setiap orang perlu mengambil tindakan bagi menangani isu tersebut.

 

"Setiap seorang daripada kita bertanggungjawab untuk memainkan peranan dalam isu ini, bermula dengan rakyat negara-negara maju yang mempunyai tabiat tidak membeli sayur-sayuran yang kurang sempurna," katanya.

 

Beliau berkata, negara berpendapatan tinggi didapati membazirkan makanan pada fasa memakannya manakala negara-negara membangun pula kehilangan makanan semasa proses pengeluarannya. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan