KUALA LUMPUR, 01 Julai 2013 - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan tiga juta kematian berkaitan HIV dan sekurang-kurangnya 3.5 juta kes baru HIV di seluruh dunia boleh dicegah menjelang 2025 jika garis panduan barunya tentang ubat antiretroviral bagi HIV, dilaksanakan.
Pengarah Jabatan HIV/AIDS WHO, Gottfried Hirnschall berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan syor ’Garis Panduan Bersepadu Mengenai Penggunaan Ubat Antiretroviral Bagi Merawat dan Mencegah Jangkitan HIV’ tentang perlunya rawatan awal diberi kepada mereka yang menghidap HIV.
"Memberi rawatan awal ketika sistem imun masih kuat adalah amat penting kerana ia boleh menjadikan pesakit sihat dan hidup lebih lama.
"Ia juga menawarkan rawatan lebih mudah kepada pesakit iaitu satu rejimen ubat bagi setiap orang,” katanya kepada pemberita bersempena pelancaran garis panduan berkenaan ke seluruh dunia pada Persidangan Persatuan AIDS (IAS) mengenai Patogenesis, Rawatan dan Pencegahan siri ketujuh di sini hari ini.
Beliau berkata garis panduan baru itu lebih mudah untuk difahami dan dilaksanakan di negara berpendapatan rendah hingga tinggi.
"Kami amat yakin garis panduan baharu ini boleh dilaksanakan,” katanya.
Syor baru itu juga termasuk pemberian terapi antiretroviral (ART) kepada semua kanak-kanak berusia bawah lima tahun yang menghidap HIV, semua wanita hamil dan semua wanita menyusu anak yang menghidap HIV.
Ia juga mengesyorkan agar rawatan serupa diberi kepada semua pasangan yang positif HIV, walaupun seorang daripada pasangan berkenaan tidak dijangkiti penyakit itu, manakala terapi antiretroviral pula perlu diberi kepada pesakit HIV yang mengalami batuk kering aktif atau penyakit Hepatitis B.
Garis panduan itu menyediakan syor bagi semua kumpulan usia dan populasi, termasuk wanita hamil, remaja dan bayi yang dijangkiti HIV. - Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan