NYAMUK aedes yang menjadi punca demam denggi dilihat semakin mengganas di Singapura.
SINGAPURA, 13 Jun 2013 - Singapura akan mengagihkan ubat penghalau serangga ke setiap rumah dan merekrut beratus-ratus pegawai kawalan penyakit bagi menangani wabak denggi yang bertambah buruk di republik ini, kata beberapa pegawai.
Menurut Agensi Alam Sekitar Nasional Singapura (NEA) dalam satu kenyataan kelmarin, dua warga Singapura maut akibat demam denggi pada tahun ini. Sementara kes-kes mingguan mencecah paras tertinggi sebanyak 820 hingga 8 Jun lalu.
Data yang dikeluarkan setakat kelmarin menunjukkan lebih 9,300 orang dijangkiti wabak denggi pada tahun ini.
Rekod terburuk di Singapura akibat wabak denggi adalah pada tahun 2005 selepas mencatatkan 13,984 kes.
NEA berkata, para pegawainya dan sejumlah sukarelawan akan mengedarkan 1.2 juta ubat penghalau serangga di Singapura yang memiliki lebih lima juta penduduk dari Julai hingga Ogos depan.
Agensi tersebut juga mengambil 300 pegawai baru untuk menambah kapasiti pasukan kawalan penyakit yang kini seramai 850 anggota.
"Dengan menguatkan pasukan operasi, NEA akan dapat memeriksa 100 peratus premis-premis kelompok denggi dalam tempoh seminggu serta meningkatkan pemeriksaan pengawasan di kawasan bukan kelompok," lapor kenyataan itu. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan