KUALA LUMPUR, 17 Jun 2013 - Produk makanan dari Taiwan iaitu ‘Round Balls Each-A-Cup’ bebas daripada campuran asid maleik.
Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman, dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diperoleh selepas menjalankan analisis ke atas produk itu.
“Sebelum ini, keputusan analisis kementerian mendapati produk itu dengan tarikh luput 3 Julai 2013, yang diimport dan diedar oleh Syarikat Each-A-Cup Sdn Bhd dikesan mengandungi asid maleik.
“Bagaimanapun, kementerian telah menjalankan analisis ke atas produk dengan tarikh luput 27 Julai dan 15 Oktober 2013 dan dapati ia bebas asid maleik,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemantauan kementerian juga mendapati produk itu dengan tarikh luput 3 Julai, yang dikesan mengandungi asid maleik, telah ditarik balik dari pasaran oleh syarikat berkenaan.
Noraini berkata, untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan di talian 03-8883 3652 atau 8883 3653 atau melayari laman sesawang http://fsq.moh.gov.my. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan