KUALA LUMPUR, 14 Jun 2013 - Dalam usaha mencegah bahaya dan kemusnahan akibat kebocoran gas memasak, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPKL) Khiruddin Drahman hari ini berkongsi beberapa panduan berguna untuk orang ramai.
Katanya jika kebocoran gas disedari, hendaklah segera membuka semua pintu dan tingkap untuk melepaskan gas yang terperangkap di dalam rumah.
"Gas yang mengalami kebocoran lebih berat dan tidak akan mudah keluar dari sebuah kawasan yang tertutup. Ia akan berkumpul dan tersebar ke seluruh rumah selain melekat pada pelbagai barangan seperti langsir dan sofa.
"Jika ada percikan api yang kecil sekalipun atau petikan suis elektrik, ia dengan mudah boleh menyambar setiap kawasan yang mempunyai sisa gas berkenaan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata situasi ini menjelaskan mengapa letupan gas memberi impak yang besar dalam ruang tertutup terutama jika kebocoran itu berlaku dalam kuantiti yang banyak.
"Jika anda dalam situasi ini, jangan sesekali panik. Matikan segera bekalan gas dan bunyikan penggera jika ada serta arahkan semua orang keluar dari tempat terbabit dan hubungi bomba," katanya.
Khiruddin berkata jika silinder gas bocor, penghuni rumah harus mengeluarkannya ke kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik serta hubungi pengedar gas dengan segera.
Dalam usaha pencegahan, penghuni rumah bertanggungjawab memeriksa tiub gas dari semasa ke semasa bagi mengesan jika berlaku kebocoran dan memastikan tiub dan tong dalam keadaan baik.
"Jauhkan dapur daripada permukaan kayu atau bahan yang mudah terbakar seperti kain pencuci dan minyak masak," katanya.
Khiruddin berkata warna api juga memainkan peranan penting dalam membantu mencegah kebocoran gas.
"Jika anda memasak, nyalaan api biru membantu anda memasak dengan lebih cepat kerana ia mempunyai kekuatan panas yang lebih besar dan menunjukkan gas LPG terbakar dengan sempurna," katanya.
Katanya jika gas berwarna kuning bermakna ia tidak terbakar secara keseluruhan dan ini menunjukkan berlakunya pembaziran gas.
Sementara itu, mengulas program komuniti bomba untuk mendidik masyarakat mengenai pencegahan kebakaran, Khiruddin berkata ia membuahkan hasil, apabila statistik panggilan jumlah kebakaran menurun sehingga 20 peratus tahun lepas.
"Kadar kematian akibat kebakaran di Kuala Lumpur juga mencatat penurunan sebanyak 50 peratus, iaitu hanya empat kematian pada tahun lepas, berbanding lapan kematian pada 2011," katanya.
Beliau berkata jabatan itu kini giat melipatgandakan usaha menganjurkan program Bomba Komuniti seperti kempen keselamatan kebakaran, program berbentuk santai dan pelbagai aktiviti sampingan bagi mendidik masyarakat. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan