KUALA LUMPUR, 11 Jun 2013 - Isu kesihatan mental di tempat kerja perlu diberi perhatian sewajarnya kerana tahap produktiviti pekerja di sesebuah organisasti bergantung pada aspek itu.
Sehubungan itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye menggesa agar langkah segera diambil pihak berkenaan bagi menanganinya.
"Dalam soal ini, kerajaan wajar memperkenalkan garis panduan bagi menggalakkan penjagaan kesihatan mental di tempat kerja ke arah melahirkan tenaga kerja yang sihat dan lebih produktif, dari segi fizikal dan mental," katanya ketika melancarkan Kempen Keselamatan dan Kesihatan 2013, anjuran RHB Bank, di sini Selasa.
Hadir sama Pengerusi RHB Bank Berhad, Tan Sri Azlan Zainal dan Pengarah Urusan kumpulan, Kellee Kam.
Lee berkata majikan juga wajar memanfaatkan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat masing-masing bagi memeriksa dan mengenal pasti masalah berkaitan kesihatan mental.
Kempen selama tiga hari itu diisi dengan pelbagai program termasuk sesi perbincangan dan latihan selain derma darah yang diadakan di RHB Centre dengan kerjasama pelbagai pihak.
Kempen itu bertujuan mendedahkan pekerja dengan maklumat yang perlu dalam usaha meningkatkan kesedaran mereka akan kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja termasuk dari segi peraturan berkaitan - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan