BEIJING, 10 Jun 2013 - Pihak berkuasa kesihatan kebangsaan China menyatakan bahawa hanya tinggal 14 pesakit yang masih menerima rawatan di hospital akibat dijangkiti virus selesema burung H7N9.
Sejumlah 131 orang telah disahkan menghidap jangkitan virus itu di seluruh negara tersebut, lapor Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga Kebangsaan.
"Daripada jumlah keseluruhan itu, 39 orang telah mati dan 78 orang lagi sudahpun dibenarkan pulang dari hospital. Tinggal 14 orang kini masih terima rawatan," kata suruhanjaya tersebut.
Suruhanjaya itu tidak lagi mengeluarkan laporan mingguan berhubung wabak itu sebaliknya mengemas kini perkembangan terbaharu sebulan sekali.
Sementara itu, satu lagi kes jangkitan virus berkenaan dilaporkan di Taiwan.
Pakar-pakar kesihatan bimbang bahawa ada kemungkinan virus itu telah bermutasi lalu ia menjadi lebih mudah dijangkiti manusia hingga berpotensi mencetuskan pandemik.
Bulan lalu, para penyelidik di China telah mencatatkan dalam laporan medical The Lancet, bahawa ujian makmal yang dijalankan mendapati bahawa jangkitan virus H7N9 dalam badan segelintir pesakit menunjukkan ketahanan terhadap perubatan. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan