KUALA LUMPUR, 27 Mei 2013 - Cabaran utama dalam kempen kesedaran mengenai kanser pangkal rahim ialah kurangnya kerjasama sesetengah wanita yang tidak mahu datang menjalani pemeriksaan, menurut seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan hari ini.
Dr Safurah Jaafar, Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, berkata masalah lain ialah kelewatan keputusan pemeriksaan kanser tersebut.
Beliau berkata pihaknya melaksanakan sistem 'Call Recall' bagi mengingatkan golongan wanita datang secara berulang menjalani pemeriksaan, melabur lebih dalam teknologi makmal untuk mendapatkan keputusan pemeriksaan yang cepat dan meningkatkan sistem imunisasi ke tahap yang lebih menyeluruh.
"Kita sasarkan wanita yang bekerja, yang tinggal di kampung dan pedalaman. Pada 2003, 43 peratus wanita telah menjalani pemeriksaan dan kita mensasarkan ia meningkat kepada 80 peratus dalam tempoh terdekat ini," katanya ketika ditemui di Forum Global Langkah Pencegahan Kanser Pangkal Rahim di sini, hari ini.
Katanya, Malaysia telah dikenali di peringkat dunia sebagai antara negara awal yang berjaya mengenalpasti dan membuat rawatan awal kanser ini melalui ujian papsmear dan pencapaian ini akan terhenti jika wanita tidak hadir untuk melakukan pemeriksaan.
"Imunisasi boleh menghalang 70 peratus kes kanser dan melindungi kanak-kanak wanita dari 13 hingga 25 tahun. Kita perlu galakkan mereka datang untuk screening (imbasan) bagi mengetahui sama ada mereka dijangkiti atau tidak kerana mencegah lebih baik dari mengubati," katanya.
Forum yang dianjurkan oleh 30 rakan kongsi antarabangsa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia diadakan selama empat hari bermula hari ini dan dijangka membincangkan isu-isu berkaitan wanita termasuk kanser pangkal rahim bagi meningkatkan kefahaman dan pengetahuan masyarakat. - Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan