Khamis, 30 Mei 2013

Syor beri budak lelaki suntikan HPV

KUALA LUMPUR, 30 Mei 2013 - Suntikan imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) yang biasanya diberikan kepada gadis bagi mencegah barah pangkal rahim, perlu juga diberikan kepada kanak-kanak lelaki kerana mereka juga berpotensi dijangkiti virus berkenaan.

 

Ketua Pengarah Agensi Pembangunan Antarabangsa Australia, Peter Bexter, berkata ia kerana selain wanita, lelaki juga berisiko dijangkiti virus berkenaan.

Penyakit tak kira jantina

“A

ustralia negara pertama yang memperkenalkan suntikan vaksin kepada kanak-kanak lelaki selepas menyedari penularan itu berlaku tanpa mengira jantina.

 

“Ia patut dicontohi negara lain kerana selain boleh dijangkiti virus berkenaan, mereka juga faktor penyumbang kepada penularan virus itu yang mengundang barah pangkal rahim,” katanya pada sidang media berkaitan kepentingan pencegahan penyakit itu pada Persidangan Global Women Deliver 2013, di sini, semalam.

 

Persidangan tiga hari bermula kelmarin, dihadiri 4,000 delegasi dari 150 negara itu bertumpu kepada perbincangan mengenai langkah mengurangkan kematian ibu bersalin dan mencapai akses sejagat terhadap kesihatan reproduktif.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GAVI Alliance, Dr Seth Berkley dan Pengarah Kaji Selidik Kesihatan Reproduktif, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Marleen Temmerman.

 

Puji inisiatif kerajaan

S

ementara itu, Dr Temmerman memuji inisiatif Kerajaan Malaysia menyediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV bagi membolehkan wanita di negara ini mendapatkan perlindungan kanser pangkal rahim.

 

“Inisiatif itu membantu mengurangkan peratus wanita yang menghidap kanser pangkal rahim,” katanya.

 

Selain itu, beliau berkata suntikan vaksin HPV perlu diberikan kepada kanak-kanak manakala wanita dan gadis terbabit dalam aktiviti seks perlu melakukan ujian saringan bagi mengesan jangkitan virus sekali gus mendapatkan rawatan awal jika dijangkiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan