Khamis, 30 Mei 2013

Soyuz selamat tiba di stesen ISS

MOSCOW, 30 Mei 2013 - Kapsul Soyuz yang membawa angkasawan Amerika Syarikat, Russia dan Itali selamat tiba di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam, yang menyaksikan krew baru itu akan berada di sana selama enam bulan untuk melakukan pelbagai uji kaji.

 

Ketibaan berlaku pada jam 8.10 pagi waktu tempatan, tidak sampai enam jam selepas kapal angkasa Russia itu berlepas dari tapak pelancaran di Baikonur Cosmodrome, di Kazakhstan.

 

Siaran secara langsung yang disiarkan stesen televisyen Agensi Angkasa Lepas Amerika (NASA TV) menunjukkan ia melonjak ke langit malam yang cerah. Empat minit kemudian, pengumuman menyebut Soyuz terbang pada kelajuan 7,500 kilometer sejam.

 

Kapsul kecil yang membawa Karen Nyberg, Fyodor Yurchikhin dan Luca Parmitano mengelilingi Bumi empat kali sebelum mendarat di stesen itu.

 

Selepas mendarat, dua jam berlalu sebelum tekanan diselaraskan antara kapsul dan stesen, bagi membolehkan mereka masuk dengan selamat.

 

Ketibaan krew baru itu disambut angkasawan Amerika, Chris Cassidy dan Alexander Misurkin dari Russia serta komander stesen, Pavel Vinogradov, yang berada di ISS sejak lewat Mac lalu.

 

“Ia perjalanan yang mudah,” kata Nyberg sebaik tiba.

 

Cassidy membotakkan kepala untuk menyerupai rupa Parmitano dan diberi pujian angkasawan Itali itu.

Yurchikhin, 54, ialah veteran tiga penerbangan angkasa lepas sebelum ini manakala Parmitano, 36, adalah bekas juruterbang ujian, membuat perjalanan pertamanya ke angkasa lepas. Nyberg, 43, pernah berada selama dua minggu di angkasa lepas pada 2008 sebagai sebahagian daripada krew Amerika.

 

Sejurus selepas tiba, mereka bercakap dengan saudara mara dan pegawai di Baikonur menerusi video. Ibu Parmitano menangis sepanjang berbual dengan anaknya.

 

Empat perjalanan dirancang sepanjang ekspedisi itu, termasuk apa yang dikatakan NASA yang pertama disertai angkasawan Itali.

 

ISS adalah pangkalan luar terbesar pernah dibina dan kadang-kadang boleh dilihat dari Bumi dengan mata kasar. Ia mengandungi lebih 12 modul yang dibina Amerika, China, Russia, Kanada dan Agensi Angkasa Lepas Eropah. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan