SINGAPURA, 12 Disember 2012 - Peramal sektor swasta menjangkakan ekonomi Singapura berkembang sebanyak 1.5 peratus tahun ini, demikian menurut Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) dalam tinjauan sukuan tahunnya bagi Disember 2012.
Keputusan tinjauan itu menunjukkan penurunan penarafan ketara daripada 2.4 peratus ramalan median dalam tinjauan sebelumnya pada September.
Tinjauan Disember 2012 dihantar pada 16 Nov, 2012 kepada 26 pakar dan penganalisis ekonomi yang memantau ekonomi Singapura.
Ia mencerminkan pandangan yang diterima daripada 21 responden (kadar respons 81 peratus), bukan mewakili ramalan atau pandangan MAS.
Ramalan inflasi IHP semua barangan bagi 2012 meningkat kepada 4.7 peratus daripada 4.4 peratus yang dilaporkan dalam tinjauan September.
Bagi suku ke-4, 2012, inflasi IHP-Semua Item diunjurkan pada 4.4 peratus.
Responden menjangkakan Inflasi Teras MAS berada pada 2.6 peratus pada 2012, lebih tinggi sedikit daripada 2.5 peratus berdasarkan tinjauan sebelumnya.
Bagi pasaran buruh, responden menjangkakan kadar pengangguran pada dua peratus menjelang akhir tahun, turun sedikit daripada 2.1 peratus menurut tinjauan sebelumnya.
Bagi 2013, responden menjangka pertumbuhan KDNK pada 2.7 peratus, manakala IHP-Semua Item dan Inflasi Teras MAS masing-masing diramalkan berada pada 3.8 peratus dan 2.2 peratus.
Seperti yang ternyata daripada tebaran kebarangkalian purata, ekonomi Singapura berkemungkinan berkembang sebanyak 2.0 hingga 2.9 peratus tahun depan, berganjak turun daripada 3.0 hingga 3.9 peratus dalam tinjauan dahulu. - Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan