JADIKAN wadah media baru sebagai tempat menabur dan menggalak kebaikan, bukan penanam benih fitnah dan kebencian.
Wadah ini boleh menjadi satu cara yang dipesan Nabi Muhammad saw iaitu sampaikan salam.
Ketika memasuki bumi Madinah, Nabi Muhammad saw berpesan supaya "sebarkanlah salam, berikanlah makan, solatlah di waktu malam sementara orang-orang sedang tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat". (Hadis riwayat Imam Timidzi)
Ia mengingatkan kepada kita tiga perkara utama yang membentuk antara dasar kesejahteraan dalam kehidupan manusia:
1. Sebarkan salam
Meskipun ini nampak remeh, ia mempunyai makna serta kesan yang sangat mendalam.
Pesanan ini mengingatkan kita supaya selalu menjadi sumber keamanan dan ketenangan serta pembawa harapan kepada masyarakat di sekeliling kita. Lafaz 'salam sejahtera ke atas kamu' yang sering kita ucapkan merupakan doa yang mampu melembutkan hati yang sedang marah dan juga mengubat hati yang gundah gelana dan sedih. Ia juga bertujuan memberitahu pendengar bahawa tiada apa yang kita inginkan kecuali kebaikan dan kesejahteraan untuk mereka.
Tidakkah kita berasa gembira jika mempunyai saudara ataupun sahabat yang selalu mengucapkan kata-kata yang baik kepada kita atau menghadiahkan kita senyuman dan wajah ceria setiap kali kita bertemu mereka? Itulah yang diinginkan daripada pesanan menyebarkan salam - menjadikan seorang Mukmin sebagai penenang jiwa, menghiburkan insan yang sedang gelisah dan mungkin sedih.
Nabi saw juga mengingatkan kita: "Jangan kamu memperlecehkan apa jua bentuk kebajikan walau hanya memberikan wajah ceria kepada saudaramu." - (Hadis riwayat Imam Muslim)
Inilah ciri-ciri mulia keperibadian terpuji Nabi saw yang dikenali sebagai seorang yang pemurah dengan senyuman dan kata-kata yang baik dan menggalakkan.
Baginda Nabi juga dikenali sebagai orang yang tidak berkata-kata kecuali terdapat kebaikan padanya. Peribadi ini juga menjadikan Nabi saw mudah didekati dan menarik perhatian orang di sekeliling.
Bagaimana dengan kita?
Dengan wujudnya wadah komunikasi baru seperti Facebook, kita seolah-olah mendapat kebebasan baru di dalam melahirkan pandangan. Jadikanlah wadah media baru ini sebagai tempat kita menabur dan menggalak kebaikan bukan penanam benih fitnah dan kebencian.
Ini bukan bererti kita tidak boleh tegas di dalam isu-isu yang perlu, namun biarlah ia tertumpu kepada isu dan bukan kepada menjatuhkan maruah dan peribadi orang lain.
Setiap kali kita akan mengeluarkan sesuatu komen di wadah seperti Facebook, Twitter, e-mel dan lain-lain, Allah akan mempertanggungjawabkan kita. Untuk meraih reda Allah, pastikan penggunaan kita juga adalah untuk Allah swt, bukan menuruti hawa nafsu.
2. Memberi jamuan
Aspek sanggup berkongsi sebahagian yang kita miliki tidak kira masa, harta, tenaga mahupun pengetahuan merupakan sesuatu yang penting bagi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat kelak.
Bayangkan apa akan terjadi jika kita tidak mahu berkongsi apa yang telah Allah anugerahkan kepada kita? Ia akan menghancurkan jiwa kemanusiaan kita. Nasib orang-orang yang memerlukan tidak akan terbela. Lebih malang lagi ini boleh menimbulkan perasaan hasad dengki di antara golongan yang kaya dan yang miskin sehingga menimbulkan rasa kurang senang sesama mereka.
Marilah bangkit menyahut seruan Baginda ini. Bantulah mereka yang memerlukan, sedaya mampu kita. Tidak perlu kita pergi terlalu jauh untuk melakukan demikian. Tanyakan keadaan jiran kita, saudara-mara dan sahabat kita. Adakah mereka dalam keperluan?
Jika kita tidak mampu secara individu menyelesaikan masalah mereka, cubalah sekurang-kurangnya menyalurkan mereka kepada pihak-pihak yang dapat membantu mereka. Isu kekeluargaan, kesihatan, kewangan dan lain-lain adakalanya rumit dan perlukan nasihat pakar. Dengan menyalurkan mereka yang berada dalam kesulitan, Allah akan meringankan beban kita di dunia dan di akhirat kelak.
3. Solat malam (bagi membina hubungan baik dan kukuh dengan Allah swt).
Jiwa yang kenal akan Tuhannya akan selalu ingat akan misi kehidupannya menjadi penyampai rahmah kepada sekalian alam.
Oleh itu, tetapkanlah sedikit masa daripada jadual harian kita untuk bermunajat kepada Allah swt. Jika kita mampu mengetepikan masa untuk bercuti, berhibur dan tugasan kerja yang lain, kita juga harus mampu mengetepikan masa untuk Allah swt.
Tiga amalan ini saling kukuh-mengukuhkan.
Amalan menyebarkan salam, membantu yang susah akan melentur jiwa kita mudah mendekatkan diri kepada Allah swt. Apabila kita kemudian menetapkan masa untuk bermunajat kepada Allah, maka di situ jiwa kita diperkukuh untuk meneruskan amalan kebaikan dengan konsisten.
Marilah membudayakan semangat dan menjadi pembawa rahmah kepada semua.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan